Takiyuddin tak diberi mandat runding dengan BN bentuk kerajaan, kata Muhyiddin

Takiyuddin tak diberi mandat runding dengan BN bentuk kerajaan, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata tujuan gabungan itu masuk PRU15 adalah membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, berkata gabungan itu tidak pernah mengarahkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berunding membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan membentuk kerajaan, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin, berkata tujuan PN bertanding pada PRU15 adalah bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

“Saya berdoa dengan izin Allah S.W.T dan sokongan padu rakyat, Perikatan Nasional akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU15,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Terdahulu, Takiyuddin berkata, beliau yakin PN dan BN akan menerima penggabungan membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.

“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

“Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU15,” lapor Berita Harian.

Kajian Merdeka Center melaporkan, sukar meramal keputusan pilihan raya umum dengan berkemungkinan tiada satu pun gabungan yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian selepas PRU15.

Pusat yang membuat kajian mengenai pandangan orang ramai itu, berkata ada “kemungkinan besar” tiga atau lebih parti atau gabungan diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.