Jika menang, gaji pertama saya bagi nelayan, kata calon BN Nibong Tebal

Jika menang, gaji pertama saya bagi nelayan, kata calon BN Nibong Tebal

RS Thanenthiran berjanji akan memberi bantuan 'one off' RM1,000 untuk nelayan berlesen di perkampungan Sungai Udang dan Sungai Chenaam.

RS Thanenthiran berkata beliau adalah ahli politik berbeza dan sebagai bekas guru, beliau tidak mahu makan duit haram.
PETALING JAYA:
Jika menang pada Sabtu ini, calon Barisan Nasional (BN) di Nibong Tebal, RS Thanenthiran berikrar menggunakan gaji pertamanya sebagai Ahli Parlimen untuk membantu nelayan berlesen di perkampungan Sungai Udang dan Sungai Chenaam.

Presiden Makkal Sakti itu berjanji akan memberi bantuan “one off” RM1,000 itu untuk pembangunan nelayan di perkampungan terbabit.

“Bila mereka tanya boleh percaya ke, sebab selalunya orang politik ini dia pandai berjanji saja. Apa yang ingin saya katakan, saya adalah ahli politik yang berbeza kerana saya bekas guru dan saya tidak mahu makan duit haram.

“Percayalah, ini bukan janji kosong. Sekiranya rakyat beri mandat kepada saya, saya akan laksanakan one off (bantuan nelayan) menggunakan gaji pertama, bukannya daripada elaun mahupun peruntukan,” katanya menurut Harian Metro.

Thanenthiran menyifatkan sambutan dan penerimaan rakyat terhadapnya semakin baik dan amat luar biasa.

“Dulu kawasan Nibong tebal ini dikatakan sebagai kawasan hitam Umno dan BN, tetapi selepas mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan masyarakat tempatan, nampak kemesraan mereka (penduduk) terhadap saya.”

Thanenthiran akan berdepan saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional Mansor Othman, Fadhlina Sidek (Pakatan Harapan) dan Goh Kheng Huat (bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan 35,395 undi, menewaskan Shaik Hussein Mydin (BN), Mohd Helmi Harun (PAS) dan Tan Tee Beng (bebas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.