Jamal ‘tak goyang’, yakin menang di Sungai Besar

Jamal ‘tak goyang’, yakin menang di Sungai Besar

Calon BN di Parlimen Sungai Besar Jamal Yunos berkata, beliau tidak berdepan masalah untuk berkempen di kawasan tersebut kerana penduduk setempat sudah mengenalinya.

Jamal Yunos berkata, pelbagai usaha telah dilakukannya untuk penduduk di kawasannya sebaik dilantik menjadi ketua Umno Bahagian Sungai Besar sejak 2013.
SUNGAI BESAR:
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Besar Jamal Yunos berkata, beliau tidak “goyang” dan mampu menewaskan tiga saingan lain dengan majoriti lebih 5,000 pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan pelbagai usaha yang telah dilakukannya untuk penduduk di kawasan itu sejak 2013 sebaik dilantik menjadi ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

“Kempen tak ada masalah kerana kebanyakan masyarakat, orang ramai, pengundi mengenali saya di sini. Yang penting kempen jadi lebih teratur dan terancang kerana jentera daripada BN memang ‘solid’.

“Ketika diumumkan menjadi calon, (saya) tak goyang dan dapat sokongan jentera. Bila jentera ‘solid’ tak ada masalah lakukan program kerana kempen saya bukan hanya ditujukan buat pengundi sahaja tetapi semua lapisan masyarakat,” katanya kepada FMT.

PRU13 menyaksikan BN memenangi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti tipis 399 undi, namun tewas kepada Bersatu pada PRU14 dengan majoriti 714.

Nama Jamal sinonim dengan gimik protes yang mencuri perhatian, termasuk tindakan beliau berdiri di hadapan bangunan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dengan bertuala susulan krisis air yang berlaku.

Pada 2018, beliau didenda RM400 atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar Bangunan SUK kerana membantah festival Oktoberfest.

Apabila ditanya sama ada pendekatan seperti itu masih digunakan jika terpilih menjadi wakil rakyat, Jamal berkata: “Biarlah orang lain pula yang buat.”

“Dalam Dewan Rakyat bukan medan berpolitik, kalau dapat mandat di waktu akan datang. Kepentingan rakyat mesti dibahas, itu iltizam saya.”

Jamal berkata, tindakan seperti bertuala di hadapan bangunan SUK adalah caranya yang “kreatif” untuk menyatakan bantahan, namun perkara sebegitu mungkin bukan sesuatu yang akan dilakukannya setelah menjadi wakil rakyat.

“Bila jadi wakil rakyat, dah semestinya karakter seperti tu biar orang lain buat. Mesej yang saya sampaikan semuanya berjaya, isu air saya selesaikan, dapat perhatian kerajaan negeri kerana ia libat rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Berhubung pembangunan di Sungai Besar, Jamal berkata, beliau berazam untuk menyelesaikan masalah kekurangan sumber pendapatan petani dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Katanya, beliau juga mahu memajukan kegiatan pelancongan di daerah tersebut selain mewujudkan pusat pengumpulan barangan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk usahawan desa.

Jamal berdepan saingan empat penjuru di Sungai Besar melibatkan penyandang Muslimin Yahaya (Perikatan Nasional); Saipolyazan Mat Yusop (Pakatan Harapan) dan Asmawar Samat@Samad (Pejuang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.