
“Kalau tak okey dengan dia, takkan saya bagi dia jadi calon,” kata Zahid merujuk Khairy yang dipilih menjadi calon Barisan Nasional di Parlimen Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Kebelakangan ini, Zahid dan Khairy dilihat sering berbalas kenyataan, khasnya berhubung isu pencalonan menteri kesihatan sementara itu di kerusi berkenaan.
Khairy secara terbuka mengakui terpaksa mencari kerusi Parlimen yang akan ditandinginya sendiri, selepas diminta mengosongkan kerusi Rembau.
Ditanya mengenai kenyataan Khairy yang secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin Umno dan mahu “membersihkan” parti itu, jika menang pada 19 Nov ini, Zahid berkata: “Tanyalah dia (Khairy) apa maksud dia.”
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi supaya mengambil iktibar daripada kesengsaraan selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) berkuasa selepas PRU14.
“Selama 22 bulan rakyat tidak memperoleh apa yang telah dijanjikan PH apabila berjaya membentuk kerajaan dan rakyat telah mengalami kerajaan yang gagal.
“Jadi, saya memohon kepada semua pengundi awal yang telah mengalami penderitaan pada PRU14 lalu agar kembali menyokong calon BN pada PRU15 kali ini,” katanya selepas Majlis Santai Bersama Penduduk Perumahan Awam Bagan Datuk.