
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata beliau mendapat sokongan dan sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk Sungai Buloh sejak dicalonkan untuk kerusi itu.
Bercakap pada perhimpunan di pusat beli-belah Uptown di sini, beliau mengakui pada mulanya beranggapan ia adalah “misi yang mustahil” untuk memenangi kerusi itu untuk BN, kerana PH berjaya mempertahankan kerusi itu dengan lebih 26,000 undi pada pilihan raya umum 2018.
“Tetapi, malam ini, saya nampak yang ‘impossible is nothing’ (tiada apa yang mustahil),” katanya.
Khairy, yang disertai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada majlis itu, turut mengulangi cita-citanya untuk menjadi perdana menteri.
“Suatu hari nanti, insya-Allah saya akan menjadi perdana menteri dari Sungai Buloh. Tidak perlu fikirkan orang lain,” katanya, ketika sebahagian daripada 1,000 hadirin berbaju biru BN melaungkan “KJ for PM” .
Kerusi Parlimen Sungai Buloh berdepan pertembungan tujuh penjuru dengan R Ramanan daripada Pakatan Harapan, yang menggantikan R Sivarasa dianggap sebagai pesaing terdekat Khairy.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi BN Selangor Noh Omar.
Ketika ditanya mengenai cadangan seorang pemimpin Pemuda Umno supaya Khairy dilantik sebagai timbalan perdana menteri jika BN memenangi pilihan raya, Ismail berkata gabungan itu masih belum mempertimbangkan perkara berkenaan.
“Kita menang (pilihan raya) dulu,” katanya ringkas kepada pemberita.
Exco Pemuda Umno Muqharabbin Mokhtarrudin telah mencadangkan BN menjadikan Khairy sebagai ‘poster boy’ untuk jawatan timbalan perdana menteri yang diperuntukkan untuk Semenanjung.
Muqharabbin berkata ia boleh membantu BN mencapai kemenangan besar pada pilihan raya 19 Nov, sambil menambah bahawa menteri kesihatan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan.