Murugiah perjuang semua kaum di Teluk Intan

Murugiah perjuang semua kaum di Teluk Intan

Calon BN Teluk Intan yang juga naib presiden MIC tidak mahu dilihat hanya memperjuangkan satu kaum sahaja tetapi berazam memberikan perkhidmatan yang adil.

Calon BN Parlimen Teluk Intan T Murugiah berazam mahu memberi tumpuan terhadap pembangunan dan modal insan di kawasan itu.
TELUK INTAN:
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Teluk Intan T Murugiah berjanji menawarkan perkhidmatannya dengan sama rata kepada semua kaum terutama dalam menangani masalah dan isu penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, beliau tidak mahu membezakan kelompok pengundi tertentu mengikut kaum dan hanya dilihat memperjuangkan kepentingan mereka semata-mata.

“Saya melihat permasalahan bukan sahaja untuk orang India, saya melihat dalam konteks penduduk dan pengundi semua kaum, saya di sini bukan untuk orang India sahaja, saya perlu memikirkan kepada bangsa lain sama kita bercakap pasal Keluarga Malaysia.

“Sebagai calon Ahli Parlimen, saya nak bagi perkhidmatan yang sama rata kepada semua kaum, saya tak wujudkan kaum pengundi…saya akan berlaku adil kepada semua kaum,” katanya dalam temubual bersama FMT.

Murugiah yang juga naib presiden MIC berkata, tumpuan utamanya di Teluk Intan adalah pembangunan serta modal insan.

Beliau berazam mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menambah baik industri pelancongan, mengawal masalah banjir dan juga mengangkat bakat sukan dalam kalangan anak muda.

“Pola pengundian sekarang banyak tumpu kepada seseorang yang boleh melakukan sesuatu untuk pembangunan Teluk Intan pada amnya.

“Kita melihat Teluk Intan ini ketinggalan jauh dari segi pembangunan peluang pekerjaan, dan kesejahteraan raya pada amnya, maka tumpuan saya hanya untuk pembangunan dan modal insan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya jika diberi mandat menjadi wakil rakyat, beliau bercadang mengadakan satu perbincangan khas bersama semua agensi kerajaan untuk perkongsian pendapat dan idea untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Selepas menang saya bercadang nak mohon semua agensi kerajaan yang ada di Teluk Intan ini datang ke mari, kita akan adakan townhall session (sesi townhall), bincang secara terbuka.

“Bagi pandangan dan kita akan lontarkan idea dan kita serah kepada agensi kerajaan yang berkaitan untuk melakukan yang terbaik untuk penduduk teluk intan.”

Kerusi Parlimen Teluk Intan bakal menyaksikan pertembungan tiga calon “heavyweight” yang juga antara pemimpin tertinggi parti iaitu Murugiah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Zainol Fadzi Paharuddin dan bekas penyandangnya, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Persaingan itu turut disertai calon Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang merupakan anak jati Teluk Intan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.