Ketua Pemuda PAS Sik mohon berehat dari jawatan

Ketua Pemuda PAS Sik mohon berehat dari jawatan

Mohd Shahiful Mhd Nasir memaklumkan keputusan itu dibuat susulan video yang tular mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa sesiapa yang mengundi PH dan BN akan masuk api neraka.

Mohd Shahiful Mhd Nasir sebelum ini membuat kenyataan bahawa sesiapa yang mengundi PH dan Barisan Nasional BN akan masuk api neraka. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir membuat permohonan untuk berehat daripada jawatan itu dan semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Permohonan itu dibuat menerusi satu surat yang ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 Nov lepas.

Dalam surat berkenaan, Shahiful memaklumkan keputusan itu dibuat susulan video yang tular mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa sesiapa yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan masuk api neraka.

Katanya, permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan dalam video itu merupakan ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya, Perikatan Nasional (PN) amnya. Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.