
Menurut timbalan ketua penerangan I PKR itu, beliau tidak mahu memberi janji manis kepada pengundi, tidak seperti calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin.
Beliau turut mendakwa, Khairy hanya mempergunakan penduduk Sungai Buloh sebagai ‘batu loncatan’ untuk memegang jawatan dan mengejar glamor.
“Saya tidak mahu jadi macam KJ. Apa itu KJ? Saya tidak mahu menjadi ‘kaki janji’, yang saya boleh buat saya akan cakap saya boleh buat, yang tidak boleh buat tidak akan saya cakap boleh buat.
“Baru-baru ini dia cakap dia perdana menteri (PM) ‘man’ (orang), dia KJ man, dia PAS man, kemudian dia cakap Sungai Buloh man dan mungkin lepas ini dia akan cakap dia ‘Ultraman’, kelakar betul,” katanya.
“Buat masa ini kalau tengok Khairy dia sudah mula ‘flip flop’, mula-mula cakap ‘A’…tiba-tiba cakap ‘B’ dan saya bukan mahu menyerang peribadi dia, tetapi saya tidak mahu penduduk Sungai Buloh tertipu,” lapor Utusan Malaysia.
Ramanan berkata, beliau juga tidak pernah mengimpikan jawatan perdana menteri kerana mahu berkhidmat untuk penduduk Sungai Buloh dan meminta mereka mempertimbangkan semula keinginan untuk melihat Khairy memimpin negara satu hari nanti.
“Dia mahu jadi perdana menteri, dia hendak berpolitik di luar dan cari jalan macam mana hendak jadi perdana menteri, kebajikan anda bukan keutamaan dia,” katanya.
“KJ mungkin menjadi perdana menteri dalam tempoh 10 tahun tetapi jika anda undi saya, anda akan dapat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dalam 10 hari,” katanya.
Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy selain Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (parti Rakyat Malaysia) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon bebas.