Khemah dekat bilik gerakan MIC dibakar, lelaki mabuk ditahan

Khemah dekat bilik gerakan MIC dibakar, lelaki mabuk ditahan

Kejadian berlaku malam tadi, suspek ditahan di lokasi sama dalam keadaan mabuk.

Polis berkata lelaki berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan insiden khemah di tepi bilik gerakan MIC di Taman Mutiara, Batu Pahat, dibakar malam tadi.
JOHOR BAHRU:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian khianat membakar khemah di tepi bilik gerakan MIC di Taman Mutiara, Batu Pahat, malam tadi.

Jurucakap Media Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Ibrahim Mat Som berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di lokasi sama dan disyaki berada dalam keadaan mabuk ketika tangkapan dibuat.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.37 malam dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda jika disabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim turut menasihati orang ramai agar bersikap secara rasional dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.