B40 masyarakat India perlu dasar pembangunan khas berteras pendidikan, saran Johari

B40 masyarakat India perlu dasar pembangunan khas berteras pendidikan, saran Johari

Johari Ghani percaya akses dan peluang pendidikan sama rata pemutus kitaran kemiskinan.

Johari Abdul Ghani, 58, dilahirkan dalam keluarga sederhana di Kampung Pandan, dan mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan.
KUALA LUMPUR:
Johari Abdul Ghani menyarankan suatu program pembangunan khas yang berteraskan pendidikan untuk mengangkat kehidupan golongan miskin dalam masyarakat India.

Akses dan peluang pendidikan sama rata menjadi teras kepada dasar Johari itu, yang mensasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah.

“Walaupun soal sara hidup itu penting, kita perlu libatkan sekali soal pendidikan. Hanya itu sahaja cara kita nak selesaikan soal kemiskinan mana-mana kaum,” kata Johari, yang berharap sekali lagi diberi mandat untuk mewakili rakyat Titiwangsa.

“Semua masyarakat pun sama. Kalau ada keluarga yang terjejas kerana kemiskinan, satu-satunya cara untuk kita keluarkan mereka daripada kemiskinan ialah pastikan anak mereka dapat pendidikan yang sepatutnya,” katanya dalam temubual FMT.

Angka rasmi 2015 menunjukkan 91% daripada kumpulan B40 tidak mempunyai sijil mengatasi SPM. Kawalan dan kekangan akibat wabak Covid-19 menimbulkan kebimbangan anak-anak B40 keciciran berbanding kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan lebih tinggi.

Johari, 58, menghayati masalah mereka kerana dilahirkan dalam keluarga sederhana. Anak jati Kuala Lumpur ini dilahirkan dan membesar di Kampung Pandan, dan mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan.

Ibu bapa beliau mengutamakan pendidikan anak-anak. Johari sedar ada ibu bapa yang terpaksa bersusah payah menghantar anak ke sekolah kerana tinggal jauh dari sekolah dan tidak mampu menanggung yuran bas sekolah.

“Macam mana kita nak tangani hal ini? Sebab itu kita perlukan wakil rakyat untuk tengok dan cari penyelesaian,” katanya.

“Ada juga ibu bapa perlu dibimbing,” tambahnya, kerana mereka mampu melanggan Astro atau Netflix “tapi tak sanggup berkorban untuk pendidikan anak”.

Pemimpin politik dan kerajaan harus faham menyelesaikan isu kemiskinan tegar perlu bersendikan akses dan peluang pendidikan sama rata, kata bekas menteri kewangan II dari 2016 hingga 2018 ini.

Dalam pada itu, Johari bersyukur sempat membangunkan semula kawasan komuniti India di Titiwangsa, semasa menjadi wakil rakyat mereka pada 2013 hingga 2018.

“Ada satu kawasan dalam kawasan Kampung Pandan yang masih ada setinggan, bersempadan dengan Selangor. Seluruh kawasan itu sudah dibangunkan dan dah tidak ada setinggan di kawasan itu.

“Kalau yang kita ada tengok setinggan pun, dekat Selangor…Ahli Parlimen Pandan mesti tengok hal ini, supaya kita boleh selesaikan seluruh kawasan itu,” katanya.

Kawasan Titiwangsa meliputi Setapak, Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Taman Maluri, dan Kampung Pandan. Kawasan Parlimen itu bersempadan dengan Setiawangsa, Bukit Bintang, dan Pandan.

Seramai 80,747 mengundi di kawasan itu, terdiri daripada 70% Melayu, 17% Cina, 9% India, dan 2.8% lain-lain.

Johari berdepan pertandingan empat penjuru untuk kerusi Titiwangsa. Pencabarnya bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mewakili Pakatan Harapan, Rosni Adam mewakili Perikatan Nasional, dan Khairuddin Abu Hassan mewakili Pejuang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.