Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme, kata Saifuddin

Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme, kata Saifuddin

Saifuddin Abdullah berkata, Anwar Ibrahim sendiri mengamalkan nepotisme apabila isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15.

Saifuddin Abdullah yang meninggalkan PKR pada 2020 mengkritik Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli kerana menggesa pengundi tidak mengundi pemimpin yang berpaling tadah kepada parti lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim patut cermin diri sendiri sebelum bercakap mengenai menentang nepotisme dan menyokong reformasi, kata bekas pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Bekas ketua setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata, Anwar sendiri mengamalkan nepotisme apabila isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Itulah nepotisme pada tahap tertinggi. Tidak kisahlah apa yang Anwar cakap mengenai orang lain termasuk saya sendiri, beliau perlu cermin diri sendiri.

“Anwar sentiasa bercakap mengenai reformasi dan (mendakwa) menentang amalan nepotisme tetapi menariknya mengenai Anwar ialah beliau sendiri contoh nepotisme,” kata Saifuddin kepada wartawan di Kuantan.

Katanya, satu lagi contoh adalah Langkah Kajang pada 2014 apabila PKR mahu menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Khalid Ibrahim dengan cuba meletakkan Anwar sebagai ADUN Kajang.

Bagaimanapun, Anwar tidak layak kerana ada kes mahkamah dan digantikan dengan isterinya.

Saifuddin yang meninggalkan PKR pada 2020 untuk menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN), mengkritik Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana meminta pengundi tidak mengundi pemimpin yang berpaling tadah kepada parti lain.

“Pemimpin sebenar tidak membuat serangan peribadi. Pemimpin sebenar bercakap mengenai dasar dan manifesto mereka. Rumusan saya adalah mudah, mereka (PH) tidak ada calon yang baik untuk menentang saya,” katanya.

Saifuddin bakal mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan buat penggal kedua. Beliau dicabar Quek Tai Seong daripada Barisan Nasional (BN) Zuraidi Ismail (PH) dan Mohamad Nor Sundari (Pejuang).

Bekas pemimpin PKR itu meninggalkan parti itu pada 2020 ketika Langkah Sheraton apabila Bersatu dan beberapa ahli Parlimen PKR meninggalkan PH untuk membentuk kerajaan baru.

Saifuddin turut dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.