Seminggu berlalu, kempen PRU15 masih lesu

Seminggu berlalu, kempen PRU15 masih lesu

Cuaca buruk di beberapa bahagian di negara ini, Langkah Sheraton dan kurangnya muka baharu bagi calon perdana menteri antara alasan mematahkan semangat pengundi berdepan pilihan raya umum.

Walaupun penduduk di kawasan bandar mungkin mempunyai keghairahan lebih tinggi pada PRU15, namun sambutan jauh lebih rendah berbanding 2018 kerana lebih menumpukan kepada rutin harian.
PETALING JAYA:
Kibaran bendera parti dengan calon pilihan raya mula bertebaran setiap hari – dari jerayawara dan ceramah serta tidak lupa melawat mangsa banjir – menjadi aktiviti sepanjang minggu pertama kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Walaupun penamaan calon berlangsung meriah, disusuli ceramah dan serang balas antara pemimpin parti dan calon bertanding, namun kelihatan ada kelesuan membelenggu PRU15.

Ada keghairahan dalam kalangan rakyat untuk keluar dan memilih pada Mei 2018, sama ada berkisar kemarahan mengenai skandal 1MDB, rasa geram dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau demi memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di Putrajaya.

Ketika itu, perhimpunan ribuan hadirin dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) pada malam hari dengan ramai rakyat teruja untuk turun mengundi.

Namun, PRU kali ini, seperti ada kelayuan untuk berdepan pilihan raya umum.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan bandar mungkin lebih teruja, namun semangat itu kelihatan lebih rendah berbanding 2018 dengan rutin harian menjadi keutamaan; begitu juga di pedalaman yang mana rakyat lebih jauh tertekan.

Kurangnya keghairahan pada pilihan raya umum kali ini cukup jelas, sebagai contoh di Kampung Matang Pasir, di Matang, Perak, pada Sabtu lalu, di mana kawasan itu teruk dilanda banjir dalam tempoh sedekad lalu. Penduduk setempat lebih sibuk membersihkan kediaman mereka yang terjejas.

“Jika banjir sekali lagi, kami tidak ada ‘mood’ turun mengundi,” kata seorang daripada mangsa, Rozaida Osman, memberitahu FMT.

Banjir juga melanda di beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam, minggu lalu. Ia juga mampu melemahkan semangat atau memberi mereka motivasi untuk turun mengundi sebagai melaksanakan tanggungjawab dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Kebimbangan jumlah keluar mengundi rendah berterusan menjadi ketakutan pembangkang, yang mengharapkan rakyat Malaysia keluar berduyun-duyun demi memastikan BN tidak kembali berkuasa.

Beberapa kawasan di Sabah, Johor, Melaka dan Sarawak kelihatan sudah letih untuk mengundi sekali lagi, memandangkan mereka sudah keluar mengundi tidak berapa lama dulu susulan pelaksanaan pilihan raya negeri. Jumlah keluar mengundi pada pilihan raya negeri dilaporkan rendah di Johor, Melaka dan Sarawak.

Diana Dennis, 40, mengakui rasa tidak bermaya untuk mengundi mengambil kira aktiviti “lompat parti” yang disaksikan sebelum ini. Di Keningau, Sabah, di mana dia mengundi, timbul kesuraman.

“Seperti tiada ‘mood’ untuk keluar dan mengundi selepas melihat bagaimana kerajaan bertukar tangan kepada parti yang sudah kalah. Seperti tiada makna meluangkan masa untuk mengundi.”

Di Johor, peniaga di Muar yang mahu dikenali sebagai Ujang, berkata pilihan raya umum kali ini berlaku dalam suasana “kelam kabut” dengan ramai calon bertanding, sambil untuk menyaksikan pertandingan dua penjuru sebagai satu kejanggalan.

Ujang, 34, juga tidak berpuas hati dengan kemunculan muka-muka lama yang berhasrat menjadi perdana menteri, sambil menyatakan tiada muka baharu ditampilkan. “Saya tidak rasa mahu mengundi, tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya perlu melaksanakan tanggungjawab.”

Sentimen sama juga dikongsi di Bagan Datuk dan Bukit Gantang, di Perak, termasuk di Alor Setar, Kedah, dan ada pengundi menyatakan mereka mengundi hanya kerana atas tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

Perubahan “mood” berlaku sedikit di kawasan bandar, di mana lebih ramai pengundi didapati tidak sabar memilih. Ceramah berterusan menarik sebilangan besar hadirin, namun kekal tidak segah seperti disaksikan pada 2018.

Bagaimanapun, ceramah dilihat lebih kepada ucapan menarik sokongan penyokong, berbanding usaha menarik perhatian pengundi atas pagar, yang menjadi kumpulan sasar bagi setiap gabungan bertanding untuk mendapat sokongan.

Pesara berusia 60 tahun dari Bangsar, yang mahu dikenali sebagai SY, berkata walaupun dia positif berhubung PRU15, beberapa rakannya sudah “putus harapan” kepada politik susulan Langkah Sheraton, pada Februari 2020.

“Saya fikir rakyat sudah sedar bahawa kita perlu berwaspada kepada siapa kita beri undi,” katanya sambil menyatakan kali ini dia akan fokus kepada parti, berbanding calon.

Dalam pada itu, keghairahan pada pilihan raya jelas kelihatan di internet – bermula dari komuniti kumpulan Whatsapp, forum dalam talian dan pelbagai platform media sosial, termasuk TikTok.

Ia mampu mempengaruhi bagaimana anak muda mengundi pada pilihan raya umum memandangkan kumpulan pengundi lebih berhubungan dalam media sosial, berbanding aktiviti kempen seperti ceramah dan jerayawara.

Penganalisis berkata, kumpulan pengundi muda mungkin mempunyai suara lebih besar dalam menentukan siapa yang mampu menguasai Putrajaya, pada PRU15 kesan pelaksanaan Undi18. Namun, sama ada mereka akan turun mengundi kekal menjadi kesangsian.

Pelajar dari Kulai, Johor, Hariz Azahar, 21, berkata dia sangat teruja mengundi kali pertama, sambil mengakui semangat sama tidak kelihatan kepada ramai rakan sebaya.

“Saya sebenarnya cukup sedih kerana ada beberapa rakan tidak teruja seperti saya, tapi tiada apa yang mampu saya lakukan,” katanya. “Saya harap mereka keluar dan memilih pada hari pengundian.”

Dengan berbaki seminggu lagi menjelang hari pengundian, semua parti dan calon melipat gandakan kempen masing-masing, namun tidak pasti sama ada rakyat Malaysia juga mampu menunjukkan sikap teruja yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.