Jangan buat laporan ‘kenakan’ calon PRU15, SPRM beri amaran

Jangan buat laporan ‘kenakan’ calon PRU15, SPRM beri amaran

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim berkata agensi itu tidak mahu melakukan siasatan semberono jika maklumat disalur hanya untuk mengenakan individu tertentu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuat pemantauan di lapangan dengan mengikuti kempen politik calon bertanding.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran tidak menjadikan agensi itu “alat politik” atau medan memburukkan calon bertanding demi menimbulkan persepsi masyarakat, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim, berkata beberapa maklumat diterima SPRM sejak 16 bilik gerakan dilancarkan agensi berkenaan di seluruh negara, bermula 5 Nov.

Namun, kata beliau, hanya empat maklumat termasuk satu daripadanya merupakan laporan terhadap seorang calon yang dilihat mempunyai asas untuk diambil tindakan lanjut.

Katanya, kesemua maklumat diterima membabitkan dua di Lembah Klang, manakala masing-masing satu di Johor dan Pahang.

“Bilik gerakan yang kita buka membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sepanjang tempoh PRU15 ini.

“Kita bukan sahaja menerima maklumat bagi tempoh PRU15 ini, tetapi selepas itu juga SPRM bersedia menerima apa sahaja maklumat mengenai rasuah, penyelewengan dan salah laku yang berada di bawah bidang kuasa kita,” lapor Utusan Malaysia.

Hishamuddin ketika mengulas lanjut, berkata setiap maklumat dikemukakan tidak kira di bilik gerakan secara bersemuka, mahupun secara dalam talian akan dikaji terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Penelitian itu bagi memastikan sama ada terdapat kesalahan rasuah atau tidak. Ianya termasuklah keterangan yang diambil SPRM melibatkan pihak-pihak yang hadir mengemukakan maklumat tersebut.

“Dalam hal ini, kita tidak mahu melakukan siasatan secara semberono kerana maklumat yang diberikan hanya untuk mengenakan individu tertentu,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh sama juga, ada juga pihak yang menghubungi SPRM sekadar membuat pertanyaan melibatkan isu rasuah dalam PRU15.

“Kita bukan sahaja menerima aduan yang dikemukakan menerusi emel dan telefon. Tetapi pegawai kami juga ada memantau laporan di media sosial dan sekiranya dilihat mempunyai asas pegawai terlibat akan mencadangkan siasatan dilakukan.

“Selain itu, SPRM juga ada pegawai yang membuat pemantauan di lapangan dengan mengikuti kempen-kempen parti politik. Jika ada isu salah guna kuasa dibangkitkan kita akan teliti sumber-sumber maklumat diperoleh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.