BN boleh dapat majoriti mudah, tawan Pagoh, Titiwangsa, kata ahli MKT Umno

BN boleh dapat majoriti mudah, tawan Pagoh, Titiwangsa, kata ahli MKT Umno

Ahmad Shabery Cheek berkata keyakinan itu berdasarkan maklumat terkini kajian di lapangan selepas seminggu berkempen.

Ahmad Shabery Cheek berkata kajian mendapati BN mampu menawan semula Pagoh dan Titiwangsa dan memperoleh majoriti mudah pada PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) boleh mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan diyakini mampu menawan semula “kerusi panas” di Titiwangsa dan Pagoh, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Shabery Cheek.

Shabery berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan maklumat terkini kajian di lapangan selepas seminggu berkempen.

Selain itu, katanya keyakinan itu berdasarkan jumlah stok pengundi putih di satu-satu kawasan dan kesiapsiagaan jentera serta keupayaan menguruskan krisis terutama selepas penamaan calon dan keupayaan gerak kerja jentera kempen.

“Kita sedang memerhatikan kawasan kita bertanding dan berjaya menguruskan ‘damage control’ di beberapa kawasan dan Insya-Allah kita mendapat 112 kerusi menghampiri angka majoriti mudah untuk kembali menjadi kerajaan,” katanya menurut Berita Harian.

Shabery berkata, keyakinan itu juga dikuatkan lagi selepas BN melalui fasa pertama peringkat penamaan calon apabila berjaya mengawal kerosakan akibat rasa tidak puas hati mereka yang tidak dicalonkan.

“Pertikaian dan perbezaan pendapat juga berjaya ditangani dan kini kita mengemas kini jentera dan mengeluarkan pengundi putih dan kelabu,” katanya.

Shabery menjelaskan maklum balas yang diperoleh mendapati ada kawasan dirasakan sukar tapi sebaliknya berlaku.

“Ada kawasan yang senang kerana tak ada ‘damage control’, lagipun ada jentera sudah bermula awal sejak penamaan calon dan berjalan dengan lancar.

“Sebagai contoh kerusi Titiwangsa, di sana tempat yang rancak dan kita percaya kita akan beroleh kemenangan daripada kekalahan yang lalu.

“Kita rasa yang menarik juga ada kerusi panas contohnya Pagoh, kita rasa BN akan menang pada kali ini,” katanya.

Pengundi Cina

Mengulas mengenai kerusi Pagoh yang diterajui Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, Shahbery berkata kajian mendapati BN boleh merampas kembali kerusi itu yang mana Muhyiddin banyak bergantung kepada pengundi Cina, namun kali ini Bersatu bukan lagi parti yang mendapat sokongan daripada masyarakat itu.

Katanya, PAS di kawasan itu lemah dan mereka tidak boleh bergantung kepada kumpulan berkenaan untuk menang kali ini.

“Satu fenomena akan berlaku selepas PRU15, Bersatu akan kehilangan kepemimpinan mereka,” katanya.

Shabery juga menekankan BN mudah mendapat sokongan ramai apabila kali ini parti itu mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS)

Katanya, ini kerana BN satu-satunya parti yang tidak meletakkan calonnya di Sarawak.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Anwar Ibrahim yang mempunyai bukti berlaku pengundian awal bagi PRU15 membabitkan anggota tentera di Bera, Pahang, Shabery berkata, Anwar boleh membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya nampak, itu langkah beliau untuk meninggalkan kesan psikologi kepada calon PM kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.