
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Salak Khairul Azwan Harun berkata, meskipun ada dakwaan bakal berlaku persilihan susulan beliau menggantikan Tajuddin, namun sehingga kini tiada masalah yang timbul dan gerak kerja jentera berjalan seperti biasa.
“Kita tiada masalah, pusat daerah mengundi (PDM) semua berjalan seperti biasa, tiada PDM yang ditutup, tiada cawangan yang tidak berfungsi.
“Saya anggap ini satu bukti dan juga testimoni komitmen Tajuddin sebagai ahli parti,” katanya selepas Himpunan Solidariti Bersama BN Parlimen Pasir Salak yang turut dihadiri Menteri Besar Saarani Mohamad di BN Command Center malam tadi.
Beliau berkata, dirinya yang juga bukan asing di Pasir Salak, setakat ini, mendapat penerimaan yang cukup baik daripada pengundi dan juga Tajuddin sendiri.
Ujarnya, beliau berterima kasih kepada Tajuddin kerana memberi ruang dan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada untuk mempertahankan kerusi Pasir Salak.
“Apabila saya menggantikan Tajuddin sebagai calon parlimen, penerimaan masyarakat pengundi terhadap saya itu baik kerana rata-rata mengenali saya dan saya juga berterima kasih kepada beliau kerana memberi laluan dan ruang untuk saya bertanding.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan beliau, jadi tahap kepercayaan dan keyakinan beliau kepada saya itu tinggi, saya pun akan meneruskan legasi kepimpinan beliau,” tambahnya.
Ditanya berkenaan pesaingnya iaitu Calon PH Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz, Khairul berkata beliau mengalu-alukan kedatangan anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bertanding di negeri ini.
Tambahnya, setakat ini semua calon bertanding secara sihat dan hanya memfokuskan kepada kepentingan rakyat.
“Kita berkempen secara sihat, tiada serangan peribadi, kita berkempen berkenaan tawaran kita kepada rakyat. Saya mengalu-alukan kedatangan Nik Omar.”
Untuk rekod, Tajuddin digugurkan sebagai calon selepas tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dengan BN mempertaruhkan calon muda, Khairul Azwan.
Saingan di kerusi tersebut menyaksikan pertembungan empat penjuru dimana selain Nik Omar Nik Abdul Aziz (Pakatan Harapan), Khairul juga akan berdepan, Jamaludin Yahya (Perikatan Nasional) dan Zairol Hizam Zakaria (Gerakan Tanah Air).