Ulama bukan jaminan jadi pengurus baik, kata Fuziah

Ulama bukan jaminan jadi pengurus baik, kata Fuziah

Bekas timbalan menteri itu berkata, bijak agama dan memahami perundangan Islam tidak secara automatik membuatkan seseorang cekap dalam tadbir urus atau pengurusan.

Bekas timbalan menteri, Fuziah Salleh berkata, agensi Islamik tidak semestinya akan diuruskan berdasarkan amalan terbaik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bijak agama dan memahami perundangan Islam tidak semestinya menjadikan seseorang itu automatik cekap dalam tadbir urus atau pengurusan, kata seorang bekas timbalan menteri.

Fuziah Salleh berkata, tahap pemahaman tertentu diperlukan apabila melibatkan isu tadbir urus dan pengurusan.

“Orang baik tidak semestinya boleh menjadi pengurus baik. Menjadi ulama atau peguam tidak secara automatik membuatkan seseorang memahami tadbir urus baik,” katanya kepada FMT.

Fuziah, bekas timbalan menteri hal ehwal agama, mengulas video dimuat naik olehnya di TikTok baru-baru ini menunjukkan beliau berkata gabungan Islam dan tadbir urus baik akan membantu memperbaiki agensi Islamik.

Beliau malah menganggap ia sesuatu yang sukar, sekiranya tiada pemahaman tepat mengenai apa itu tadbir urus baik.

“Anda boleh berkhutbah, tetapi tidak semestinya bermaksud anda bagus menguruskan sesebuah agensi dan membetulkan sebarang kesilapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fuziah memberi contoh Menteri Alam Sekitar dan Air sementara, Tuan Ibrahim Tuan Man yang disifatkannya “kawan dan budiman”.

“Tetapi, itu tidak menjadikannya seseorang yang memahami amalan terbaik dan apa yang dimaksudkan dengan istilah itu.

“Contohnya, beliau mungkin diperdaya untuk menganggap tidak salah mengadakan rundingan langsung dalam keadaan beliau cuma menteri sementara,” katanya.

Fuziah berkata, penting untuk semua agensi kerajaan mengamalkan tadbir urus baik, termasuk agensi Islamik.

Beliau kemudian merujuk salah urus Tabung Haji (TH) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak boleh mengandaikan agensi-agensi Islamik secara automatik akan diuruskan dengan amalan terbaik,” katanya.

Fuziah akan mempertahankan kerusi Kuantan untuk Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.