
Veteran Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, dasar kerajaan negeri ketika ini menyebabkan ramai yang tidak mampu membayar premium tanah.
“Ini hanya boleh selesai apabila kita buang kerajaan PAS kerana dasar kerajaan PAS menekan dan mencekik orang yang tak mampu membayar premium tanah, cukai tanah dan sebagainya.
“Saya rasa kalau kerajaan PAS tak bertindak, inilah jadinya. Jadi kita anjur, kita tukar kerajaan ini kerana dia dah memerintah lebih 30 tahun,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau menyeru pengundi di Kelantan membawa perubahan dengan menukar kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Itulah cara saya boleh menyelesaikan soal ini, kena keadaan yang dikenakan sekarang ini oleh kerajaan PAS,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan isu pemilikan tanah peneroka dan Orang Asli di sekitar daerah Gua Musang menjadi agenda utama Pejuang bagi memenangi pilihan raya umum ke-15.
Calonnya, Samsu Adabi berhasrat menyelesaikan masalah itu kerana sedar masalah pemilikan tanah yang dihadapi penduduk daerah itu.