Tawaran RM10 juta, Prabakaran berisiko didakwa jika tak lapor SPRM

Tawaran RM10 juta, Prabakaran berisiko didakwa jika tak lapor SPRM

Naib Ketua PKR Batu Rozan Azen Mat Rasip berkata kegagalan melaporkan perkara itu akan memberi gambaran beliau tidak serius memerangi rasuah.

Bekas Ahli Parlimen Batu P Prabakaran mendakwa beliau ditawarkan RM10 juta untuk menyertai MIC. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
P Prabakaran yang mempertahankan kerusi Batu pada pilihan raya umum ke-15, berisiko dikenakan tindakan undang-undang jika beliau tidak melaporkan dakwaan tawaran RM10 juta untuk melompat ke MIC, kata seorang pemimpin bahagian PKR.

Rozan Azen Mat Rasip berkata, Prabakaran membuat dakwaan itu dua kali, tetapi belum membuat sebarang laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seakan tidak serius dalam menghapuskan dan memastikan punca usaha merasuah itu dibanteras,” kata naib ketua PKR Batu itu dalam kenyataan.

Rozan berkata, jika Prabakaran gagal membuat laporan, beliau boleh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, Prabakaran boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Katanya, kegagalan Prabakaran membuat laporan menimbulkan tanda tanya berhubung kesahihan dakwaan itu, walaupun beliau menyatakan mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, dakwaan itu boleh mengundang musibah buat Prakaran.

Awal minggu ini, satu video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial menunjukkan Prabakaran menerusi sebuah ceramah mendakwa beliau ditawarkan sejumlah wang untuk menyertai MIC.

Susulan itu, Pengerusi MIC Kuala Lumpur, S Rajah membuat laporan polis terhadap Prabakaran dengan menyatakan tiada seorang pun daripada MIC pernah menawarkan RM10 juta kepada Prabakaran dan dakwaan yang dibuat dalam ceramah baru-baru ini bertujuan memfitnah pemimpin MIC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.