Jangan ‘cucuk’ kami, BN komited Ismail calon PM, kata Zahid

Jangan ‘cucuk’ kami, BN komited Ismail calon PM, kata Zahid

Zahid Hamidi berkata jangan ada mana-mana pihak cuba timbulkan spekulasi, ramalan dan 'cucuk-mencucuk' antaranya dengan Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Zahid Hamidi berucap kepada jentera BN di Parlimen Tangga Batu.
TANGGA BATU:
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu terus komited dengan keputusan mengekalkan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Beliau berkata, jangan ada mana-mana pihak cuba timbulkan spekulasi, ramalan dan “cucuk-mencucuk” antaranya dengan Ismail.

“Saya tiada masalah dengannya. Jangan timbul spekulasi, jangan timbul ramalan dan jangan ‘cucuk mencucuk’ antara kami,” katanya ketika berucap kepada jentera BN di Parlimen Tangga Batu.

Zahid berkata, BN dan Umno sudah membuat keputusan mengenai Ismail sebagai calon perdana menteri kerana beliau menjalankan tugas dengan baik dalam kerajaan.

“Tentunya Umno dan BN buat keputusan kita akan terus komited untuk menentukan bahawa perdana menteri kita adalah perdana menteri (Ismail) yang sedang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang,” katanya.

Pada 5 Nov lalu, Ismail berkata beliau masih lagi “poster boy” dan calon perdana menteri BN selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ismail berkata, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu diputuskan secara jelas dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) April lalu.

Mimpi di siang hari

Sementara itu, Zahid yang juga presiden Umno menyifatkan jika ada pemimpin parti lawan yang bercita-cita menjadi perdana menteri kali kedua ia hanyalah seperti “bermimpi di siang hari”.

Tanpa menyebut nama pemimpin terbabit, beliau dipercayai merujuk kepada pengerusi Perikatan Nasional (PN), selepas mendakwa “track record” gabungan itu gagal mengurus negara dengan baik.

“Jika ada niat nak jadi perdana menteri buat kali kedua, seperti ‘bosnya’ (Dr Mahathir Mohamad) yang jadi perdana menteri kali kedua selepas 22 tahun, selepas itu 22 bulan, parti itu hanya ‘bermimpi di siang hari’ untuk jadi perdana menteri kali kedua,” katanya.

Zahid berkata, rakyat sangat rugi jika tidak mempunyai perasaan menyesal untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“Rugilah jika mereka tak pernah menyesal pilih PH. Rugilah jika ada yang memilih PN kerana ‘track rekod’ mereka selama 17 bulan gagal mentadbir negara.

“Mana ada negara dalam dunia ini yang juga mengalami Covid-19 telah isytihar darurat. Hanya di Malaysia sahaja diisytiharkan darurat malah Parlimen digantung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.