Hari kedua inkues Baby Syifaa, koroner lawat tempat kejadian

Hari kedua inkues Baby Syifaa, koroner lawat tempat kejadian

Koroner Mahkamah Seremban, Surita Budin melawat tempat kejadian untuk mengetahui jarak tandas dan dapur, serta bagaimana kejadian boleh berlaku dalam masa 30 minit.

Yuseri Yusoff dan isterinya, Anida Idrus turut hadir ketika Koroner Mahkamah Seremban melawat lokasi kejadian di pusat jagaan Sendayan, Seremban. (Gambar fail Bernama)
PETALING JAYA:
Hari kedua inkues bagi mengenal pasti punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri atau “Baby Syifaa” menyaksikan Koroner Mahkamah Seremban melawat lokasi kejadian di pusat jagaan Sendayan, Seremban.

Koroner, Surita Budin yang tiba kira-kira 2.50 petang, meninggalkan pusat jagaan itu pada 3.15 petang tadi.

Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zahida Zakaria serta peguam keluarga bayi perempuan itu, Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas.

Turut kelihatan peguam pemerhati pengasuh, Norliana Ali Othman serta ibu bapa bayi itu, Yuseri Yusoff, 39, dan Anida Idrus, 41, bersama rakan mereka.

Dalam prosiding di Mahkamah Koroner Seremban pagi tadi, pendakwaan menayangkan rakaman simulasi kejadian sebelum Surita memaklumkan ingin melawat tempat kejadian bagi mengetahui jarak tandas dan dapur, serta bagaimana kejadian boleh berlaku dalam masa 30 minit.

Saksi ke-13 dan 14, iaitu jurufoto Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, Nor Fazila Ya’acob serta Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rohaizal Umar memberi keterangan dalam prosiding itu.

Fazila berkata, beliau berperanan sebagai jurugambar kes dan turut merakam video simulasi, dengan 18 gambar yang diambil di pusat jagaan Baby Syifaa dan lapan gambar di Klinik Kesihatan Sendayan, disimpan dalam cakera padat.

Ditanya peguam adakah beliau tahu lokasi sebenar kematian Baby Syifaa, katanya, beliau tidak pasti dan hanya diarah ke pusat jagaan oleh pegawai penyiasat untuk mengambil gambar, menurut Harian Metro.

Sementara itu, Rohaizal berkata, JKM menerima permohonan daripada pegawai penyiasat untuk menyemak status pusat jagaan itu dan hasil semakan mendapati ia tidak pernah memohon dengan JKM untuk pengoperasian serta pendaftaran.

Prosiding inkues sepatutnya bersambung 17 Nov ini, tetapi Azizah memohon tarikh tambahan dan mahkamah menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menentukan tarikh sesuai sebelum 17 Nov.

Pada 23 Feb lalu, media melaporkan Baby Syifaa ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan dekat Sendayan, kira-kira 3 petang.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.