Rebat 12% buat pengguna air terjejas di Pasir Gudang

Rebat 12% buat pengguna air terjejas di Pasir Gudang

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian rebat itu termasuk pengguna domestik, domestik pukal, institusi keagamaan dan kebajikan.

Lebih 50 kawasan di Pasir Gudang mengalami gangguan bekalan air akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam ketika menjalankan kerja teknikal pada 28 Okt lepas dan kerja pembaikan itu pulih sepenuhnya 4 Nov lepas.
JOHOR BAHRU:
Kerajaan negeri mengumumkan pemberian rebat 12% kepada 49,280 pemilik akaun terjejas akibat gangguan bekalan air di Pasir Gudang baru-baru ini.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu hasil perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd.

Beliau berkata, pemberian rebat itu termasuk pengguna domestik, domestik pukal, institusi keagamaan dan kebajikan.

“Diharap inisiatif ini dapat membantu meringankan sedikit beban pengguna. Sekali lagi, saya ingin memohon maaf kepada penduduk dan sektor perniagaan yang mengalami kesulitan akibat insiden ini.

“Meskipun masalah kebocoran paip di luar jangka, namun kerajaan negeri akan pastikan prosedur lebih berkesan untuk menangani isu sebegini, jika ia berlaku lagi, ” katanya dalam hantaran Facebook rasminya.

Onn Hafiz berkata, isu ketiadaan air adalah perkara serius yang tidak akan dipandang ringan kerajaan negeri dan ia sentiasa memantau masalah berbangkit untuk diselesaikan demi keselesaan hidup Bangsa Johor.

Pada 28 Okt lepas, lebih 50 kawasan di Pasir Gudang mengalami gangguan bekalan air akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam ketika menjalankan kerja teknikal. Kerja pembaikan itu pulih sepenuhnya 4 Nov lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.