
Beberapa pemimpin Sarawak memberitahu FMT, Muhyiddin memungkiri janjinya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung perkara itu.
Abdul Karim Rahman Hamzah, naib presiden parti tonggak GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mengakui bahawa beliau tidak pasti apa yang berlaku antara Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Muhyiddin sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akhir tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, tiada siapa boleh dihalang bertanding kerana ini proses demokrasi.
“Persahabatan adalah tentang keikhlasan. PRN atau pilihan raya Parlimen, (Muhyiddin) tidak sepatutnya meletakkan calon. Tetapi kita tidak boleh halang sesiapa daripada bertanding, kerana ini adalah (proses) demokrasi.
“Jika (Muhyiddin) ingin mengekalkan persahabatan untuk kerjasama pada masa akan datang, maka jangan letak calon di Sarawak,” katanya.
Abdul Karim berkata, GPS akan melawan PN pada pilihan raya dan membiarkan pengundi memilih.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan GPS akan bekerjasama dengan PN selepas PRU15.
Beliau berkata, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Barisan Nasional (BN) Sarawak kedua-duanya berada dalam kerajaan persekutuan pada 1990-an, manakala PBDS menjadi pembangkang di peringkat negeri.
Calon Bersatu PN, iaitu Ali Biju, Jugah Muyang dan Duke Janteng, masing-masing bertanding di Saratok, Lubok Antu and Bintulu. Satu lagi parti komponen PN, PAS meletakkan Hamdan Sani sebagai calon di Batang Lupar.
Seorang lagi pemimpin GPS, Ketua Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing berkata, beliau bertemu Muhyiddin baru-baru ini dan memberitahunya, “jika menganggap kami sebagai saudara, hormati kami dan jangan bertanding di Sarawak”.
Beliau berkata, Bersatu harus menghormati keputusan Abang Johari yang menentang GPS dan PN bergaduh sesama sendiri.
“Saya beritahu Muhyiddin bahawa GPS tidak akan ganggu Semenanjung. Begitu juga Semenanjung tidak seharusnya ganggu Sarawak.”
Media sebelum ini melaporkan Fadillah Yusof, seorang lagi naib presiden PBB, sebagai berkata, GPS akan menyerahkan kepada Abang Johari untuk memutuskan langkah seterusnya berhubung hubungan gabungan itu dengan PN.
“Kami telah memberikan mandat penuh kepada Abang Johari dalam perkara ini,” katanya.
“Mengikut pemahaman saya, PN mahu bersahabat dengan GPS dan berkata ia tidak akan bertanding di Sarawak.”
Presiden Parti Rakyat Sarawak Joseph Salang mengakui bahawa bertanding di Sarawak ialah hak demokrasi PN.
“Apa yang berlaku antara dua tokoh itu, hanya mereka yang tahu,” katanya.
“Ini ialah demokrasi dan mereka berhak untuk bertanding, tanpa mengira persefahaman setia kawan.”
Pada Isnin di Pendang, Kedah, Muhyiddin memberitahu pemberita bahawa janji yang dibuat kepada Abang Johari hanya berkaitan keputusan Bersatu untuk tidak menyertai PRN Sarawak tahun lepas, bukannya PRU15.