PH sedia gugur Ramanan jika terbukti bersalah, kata Anwar

PH sedia gugur Ramanan jika terbukti bersalah, kata Anwar

Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata sehingga hari ini tiada bukti dan fakta yang membabitkan Ramanan terlibat dengan rasuah.

Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, sehingga hari ini tiada bukti dan fakta menunjukkan R Ramanan bersalah.
KUALA LUMPUR:
Pakatan Harapan (PH) sedia membatalkan pencalonan R Ramanan di Parlimen Sungai Buloh, sekiranya terdapat bukti beliau terlibat rasuah.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, sehingga hari ini, tiada bukti dan fakta menunjukkan naib ketua penerangan PKR itu bersalah.

“Sebarang tuduhan perlu disertakan dengan bukti dan fakta yang kukuh. Semua calon kita (PH), saya telah semak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, setakat yang saya mampu.

“Oleh kerana orang bertanya, saya tunggu, tapi setakat saya (terima) hanyalah bisik begitu, bisik begini, tiada bukti dan saya percaya beliau akan menang di (Parlimen) Sungai Buloh,” katanya dalam syarahan perdana “Ada apa dengan korupsi” di sini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya hadirin berkaitan kegusaran akar umbi calon PH di Sungai Buloh yang didakwa terlibat dengan rasuah.

Pengisytiharan harta

Anwar berkata, beliau telah menandatangani akuan bersumpah (SD) berhubung pengisytiharan hartanya pagi tadi.

“Sudah, sudah, selesai sudah, cuma tempoh hari saya belum tanda tangan, (sebab) saya belum pulang ke Kuala Lumpur. Selesai dah, tiada masalah.”

Semakan FMT di laman sesawang PKR pada halaman memaparkan calon PRU15 gabungan itu menunjukkan nilai aset bersih Anwar berjumlah RM11,178,667.80.

Beliau mengisytiharkan sebuah rumah dan tiga bidang tanah bernilai RM10.35 juta serta wang tunai dan simpan kira-kira RM829,000.

Presiden PKR itu turut mendesak pemimpin parti lain mengikut jejaknya mengisytiharkan harta mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.