
“Saya pasti akan membawanya (untuk dibentangkan di Dewan Rakyat),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi ramah mesra di sini.
Tambahnya, jika Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU15, bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad akan memastikan RUU itu dibentangkan.
“Kami berdua komited,” katanya sambil menyatakan, Dzulkefly menganggotai jawatankuasa pilihan Parlimen yang memperhalus RUU tersebut.
RUU itu bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada generasi yang dilahirkan selepas 2007. Ia pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai.
RUU tersebut dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bulan lepas, tetapi Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.
Manifesto PRU15 BN, yang dilancarkan pada malam Isnin, tidak menyenaraikan RUU GEG sebagai antara ikrarnya untuk sektor penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Khairy cuba menjelaskan kenyataan yang dibuatnya pada ceramah malam tadi apabila beliau mengisytiharkan mahu menjadi perdana menteri suatu hari nanti.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, beliau membuat kenyataan sedemikian untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa Umno tidak kekurangan pemimpin untuk menerajui negara selepas Ismail Sabri Yaakob, calon perdana menteri BN pada PRU15.
“Saya mahu kemukakan nama saya selepas (PRU15) ini untuk dipertimbangkan (sebagai) ketua parti dan calon perdana menteri,” katanya.