Kerajaan sasar selesai agihan PerantiSiswa akhir bulan

Kerajaan sasar selesai agihan PerantiSiswa akhir bulan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata sehingga hari ini, lebih 200,000 set PerantiSiswa telah berjaya diagihkan kepada pelajar-pelajar terpilih.

Annuar Musa (tengah) bergambar bersama 340 pelajar yang menerima PerantiSiswa pada Sesi Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz semalam. (Gambar Bernama)
KUALA SELANGOR:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan untuk menyelesaikan pengagihan baki hampir 100,000 permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang telah diluluskan pada hujung bulan ini.

Menterinya Annuar Musa berkata sehingga hari ini, lebih 200,000 set PerantiSiswa telah berjaya diagihkan kepada pelajar-pelajar terpilih.

“Walaupun sasaran asal (selesaikan pengagihan) kementerian akhir tahun, tapi kita bawa ke depan sebelum hujung Nov semua yang telah lulus akan disampaikan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan agak cepat kerana dengan kerjasama semua kementerian.

“Kita ada lebih 80,000 yang tidak lulus permohonan, saya akan melihat sekali lagi, sebab kalau boleh saya nak bagi semua. Mereka yang gagal masih boleh membuat rayuan,” katanya kepada pemberita selepas Majilis Penyerahan PerantiSiswa di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.

Terdahulu, Annuar menyampaikan PerantiSiswa kepada lebih 300 pelajar daripada Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz dan Kolej Vokasional Kuala Selangor.

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif kerajaan untuk membekalkan sebuah peranti ‘tablet’ kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.