Jangan jadikan ‘rider’ buruh paksa, bayar segera tunggakan gaji, desak MTUC

Jangan jadikan ‘rider’ buruh paksa, bayar segera tunggakan gaji, desak MTUC

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, Foodpanda diberi tempoh seminggu sebelum 16 Nov untuk menyelesaikan isu itu.

Kamarul Baharin Mansor (tiga dari kanan), Abdul Hakim Abdul Rani (dua dari kiri) dan Fairuz Jamaluddin (empat dari kanan) mendesak isu upah penghantar Foodpanda diselesaikan segera.
KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda menyelesaikan segera isu upah penghantar makanan yang didakwa tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, masalah pembayaran gaji itu dikatakan berpunca daripada sistem e-tunai dalam aplikasi Road Runner Foodpanda.

Katanya, majikan terbabit perlu memberi perhatian terhadap pembayaran upah penghantar makanan kerana itu perkara asas.

“Kita tidak akan berkompromi mengenai isu gaji kerana ia hasil titik peluh mereka. Jangan jadikan pekerja ekonomi gig ini sebagai buruh paksa. Ini salah satu ciri buruh paksa.

“Ia tidak nampak seperti itu kerana melibatkan pekerja tempatan. Mereka bekerja, tetapi gaji tidak dapat.

“Kita mahu mereka selesaikan isu tunggakan gaji dalam tempoh seminggu sebelum 16 Nov, jika tidak kita akan bawa ‘rider’ untuk memberi tekanan kepada syarikat ini,” katanya di ibu pejabat Foodpanda, di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-panggilan Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani dan Exco Pemuda Umno merangkap Pengerusi Sekretariat Pekerja Pemuda Umno, Fairuz Jamaluddin.

Dalam perkembangan lain, Kamarul menyambut baik usaha parti politik mengutamakan nasib pekerja gig dalam manifesto pilihan raya mereka.

“Selepas ini, mungkin kita akan dapat melihat satu akta khusus untuk pekerja gig. Kita berharap ia dapat direalisasikan nanti.”

Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan manifesto gabungan itu berkata, mereka akan merangka satu akta khusus bagi melindungi hak, kebajikan dan pendapatan pekerja gig kerana sektor itu semakin berkembang, khususnya membabitkan ramai anak muda.

Katanya, ia pembaharuan struktural untuk melonjakkan Malaysia menjadi negara yang meletakkan kesejahteraan dan keadilan sosial pelbagai kumpulan masyarakat di tahap terbaik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.