Exco Pemuda Umno cadang KJ jadi TPM jika BN menang PRU15

Exco Pemuda Umno cadang KJ jadi TPM jika BN menang PRU15

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, cadangan itu mampu menjamin kemenangan besar kepada BN pada PRU15.

Khairy Jamaluddin diterima oleh setiap golongan lapisan masyarakat disebabkan kejayaan luar biasanya di setiap kementerian, kata Exco Pemuda Umno.
PETALING JAYA:
Seorang Exco Pemuda Umno mencadangkan agar Khairy Jamaluddin dilantik sebagai timbalan perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berpendapat, cadangan ini mampu menjamin kemenangan besar bagi BN.

“Saya percaya seandainya ini dapat dijanjikan, rakyat Malaysia dan pengundi muda khususnya akan melihat sebuah jaminan perubahan besar parti Umno dan BN.

“Saya melihat bagaimana Khairy begitu diterima orang Sungai Buloh seolah-seolah kini hanya Sungai Buloh yang ada pilihan raya,” katanya menurut Berita Harian.

“Ini jelas, kenapa KJ (Khairy) diterima oleh setiap golongan lapisan masyarakat. Ia kerana kejayaan luar biasa beliau di setiap kementerian yang diterajuinya.”

Terdahulu, Khairy yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh, menyuarakan hasrat untuk memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Muqharabbin berkata, orang muda mahu melihat perubahan landskap politik dalam setiap parti, justeru BN perlu berani memberi ruang kepada pemimpin muda seperti Khairy.

“Saya yakin, seandainya Ismail Sabri Yaakob, yang sudah diputuskan parti sebagai perdana menteri, berani dan yakin meletakkan Khairy sebagai calon timbalannya, saya percaya sepenuhnya dengan izin Allah, BN akan menang besar.

“Ini kerana negara akan dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa di peringkat lokal, bahkan juga antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.