Beberapa pemimpin parti komponen GRS sokong Ronald di Beluran

Beberapa pemimpin parti komponen GRS sokong Ronald di Beluran

Pemimpin dari parti STAR, Usno dan PKDM hadir dalam satu program Ronald Kiande serta menyatakan sokongan kepada beliau untuk mempertahankan Parlimen Beluran.

Ronald Kiande (tiga dari kiri) bersama pemimpin STAR, Usno dan KDM dalam satu program di Kampung Lidong, Telupid hari ini.
TELUPID:
Beberapa pemimpin daripada parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilaporkan menyokong Ronald Kiandee untuk mempertahankan Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Parti komponen itu termasuk STAR, Usno dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dilaporkan hadir dalam satu program Ronald di Kampung Lidong di sini.

Pemimpin STAR yang hadir memberi sokongan ialah ketua bahagian parti itu di Telupid dan Labuk, selain ketua bahagian Usno Sugut serta ketua bahagian KDM Telupid.

Ronald sebelum ini bertanding atas tiket PN, selepas tidak dicalonkan GRS di Parlimen Beluran. Kerusi itu diserahkan kepada calon BN, Benedict Asmat.

Ketua Bahagian STAR Telupid, Justina Udilis berkata, beliau menyokong Ronald kerana rekod baik dan usaha yang dibawakan naib presiden Bersatu itu dalam membangunkan Parlimen Beluran.

“Perjuangan beliau (Ronald) sangat relevan pada masa ini dan hala tuju yang beliau bawa harus diteruskan, kalau dia berhenti dan orang baharu memulakan langkah adalah sukar.

“Bagi mencapai tahap lebih tinggi memerlukan jangka masa lama, beliau diakui berada di tahap terbaik dalam membangunkan Beluran. Beliau perlu kekal dan disokong untu meneruskan komitmen memajukan Beluran,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan.

Justina berkata, STAR merupakan salah satu parti komponen PN, manakala di peringkat negeri, mereka bersama dalam GRS, sebab itu sokongan diberikan kepada Ronald.

Ketua STAR Bahagian Labuk, Dolusim Podosian pula menyifatkan Ronald berjiwa rakyat dan sentiasa mencari cara terbaik untuk membangunkan kawasan Beluran untuk kesejahteraan rakyat setempat.

“Tiada sebab kenapa Ronald tidak disokong, saya akan tetap menyokong Datuk (Ronald) untuk kesinambungan pencapaian dan seterusnya untuk kemajuan di Parlimen Beluran,” katanya.

Ketua KDM Bahagian Telupid, Pinus Gondili berkata, Ronald masih relevan untuk mewakili Beluran.

“Pada saya, beliau masih relevan di kawasan kita (Beluran), sebab beliau yang telah ‘menanam’ (pembangunan di Beluran), mana boleh orang lain yang pergi ‘menuai’, saya sangat-sangat sedih bila beliau dianiaya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Usno Bahagian Sugut, Jamin Sabu turut menghadiri kempen di Kampung Bintang Mas di Telupid untuk menyokong Ronald.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.