18 Nov cuti umum di Selangor

18 Nov cuti umum di Selangor

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut menggesa Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan cuti umum bagi seluruh negara.

Amirudin Shari berkata, keputusan itu disebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Selangor, tetapi mengundi di kampung halaman mereka di negeri lain. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum di negeri itu, memandangkan keesokannya hari pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau dalam sidang media berkata, keputusan ini dibuat memandangkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Selangor, tetapi mengundi di kampung halaman mereka di negeri lain.

Beliau menggesa Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob turut mengisytiharkan cuti umum di seluruh negara bagi memudahkan rakyat membuang undi pada 19 Nov.

“Ini (cuti negeri) terpakai untuk sektor awam dan swasta di Selangor,” kata Amirudin.

Menurutnya, satu warta akan dikeluarkan pada Rabu depan untuk memaklumkan orang ramai mengenai keputusan kerajaan negeri itu.

Sementara itu, kerajaan Selangor akan menyediakan 30 bas Smart Selangor sebagai pengangkutan alternatif buat penumpang RapidKL terjejas akibat penutupan 16 stesen LRT di laluan Kelana Jaya.

Terdahulu, Prasarana hari ini memohon maaf kepada penumpang terjejas atas gangguan perkhidmatan selama seminggu dan ia mungkin memberi pampasan kepada mereka, khasnya yang membeli pas bulanan My50.

RapidKL menutup 16 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini, susulan kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC) yang dikesan semalam.

Laluan LRT Kelana Jaya turut terjejas dengan masalah sama Isnin lalu yang mengganggu perkhidmatan biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.