
Beliau berkata, naratif dimainkan pembangkang bahawa Zahid calon perdana menteri daripada BN selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah fitnah, yang sengaja dibuat pembangkang untuk mengelirukan rakyat dan mewujudkan perpecahan dalam BN.
Sehubungan itu, beliau berharap kenyataan dibuat kepimpinan tertinggi parti dalam BN termasuk Zahid, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, dapat menghentikan fitnah tersebut.
“Persepsi yang cuba dicipta pembangkang adalah palsu dan fitnah semata-mata, dan tidak lain tidak bukan bertujuan hendak memecah-belah dan mewujudkan persengketaan dalam Umno. Tetapi Alhamdulillah, solidariti Umno masih sebulat suara dan kita tidak terpengaruh dengan persepsi dibawa pembangkang.
“Tiada perpecahan antara kepimpinan Umno, dan antara saya dengan Zahid juga tidak ada masalah,” katanya dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera.
Semalam, Zahid menegaskan dan mengulangi pendirian BN bahawa Ismail kekal sebagai calon tunggal BN sebagai perdana menteri selepas PRU15.
Sebelum ini, timbul isu “satu undi BN = satu undi Zahid sebagai PM” iaitu dakwaan setiap undian kepada calon BN adalah undian untuk menjadikan presiden Umno itu yang juga calon BN di Parlimen Bagan Datuk, menjadi perdana menteri selepas PRU15.