Suara Sabah, Sarawak perlu lebih besar di Parlimen, kata Fadillah

Suara Sabah, Sarawak perlu lebih besar di Parlimen, kata Fadillah

Ketika ini, Semenanjung mempunyai dua pertiga kerusi Parlimen walaupun Sabah dan Sarawak merupakan rakan setara dalam pembentukan Malaysia.

Fadillah Yusof yang juga menteri kanan dalam Kabinet, berkata GPS mahu kekal dalam Malaysia, berbeza dengan segelintir kumpulan ekstrem yang mahu membawa Sarawak keluar dari persekutuan.
PETALING JAYA:
Suara Sabah dan Sarawak perlu lebih besar di Parlimen, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof, yang kembali bertanding bagi penggal kelima di Parlimen Petra Jaya, Sarawak.

Fadillah, yang juga pemimpin paling kanan dari Malaysia Timur dalam Kabinet persekutuan, berkata jumlah kerusi bagi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat kekal menjadi isu terbesar berkaitan Perjanjian Malaysia 1863 (MA63) yang perlu diselesaikan.

Katanya, berdasarkan semangat perjanjian, dua wilayah Borneo itu merupakan rakan pengasas setara persekutuan, tidak dijelmakan menerusi perwakilan Parlimen.

“Jika anda mahu meminda Perlembagaan atau sesuatu menyentuh hak Sabah dan Sarawak, anda perlukan dua pertiga majoriti.

“Ketika ini, Ahli Parlimen Semenanjung mewakili dua pertiga di Dewan Rakyat dan mereka dapat meminda Perlembagaan tanpa perlu berunding dengan Sabah dan Sarawak.”

Lompong keseimbangan itu menjadi penyebab kepada parti pemerintah Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu perwakilan di Parlimen lebih baik bagi wilayah itu dan Sabah, kata Fadillah, yang juga ketua whip Parlimen gabungan berkenaan.

“Dengan kefahaman itu, saya fikir Sabah dan Sarawak pastinya lebih gembira.

“Jika anda lihat Sarawak, wujud beberapa kumpulan yang ekstrem dan sanggup bercakap untuk membawa keluar Sarawak dari Malaysia.

“Dalam GPS, kami mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia, namun kita perlu menghidupkan semula semangat MA63.”

Dilaporkan sebelum ini bahawa sejumlah 15 isu berkait MA63 belum diselesaikan termasuk penurunan kuasa berhubung kesihatan, persekitaran, buruh dan isu tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.