Manifesto pertimbang pengeluaran KWSP, Muhyiddin terima kritikan

Manifesto pertimbang pengeluaran KWSP, Muhyiddin terima kritikan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Charles Santiago berkata, tindakan itu memberi kesan buruk buat pencarum bagi tempoh panjang, yang berisiko berdepan kemiskinan pada usia tua.

Pada Ogos, Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah berkata, hampir RM145 bilion telah dikeluarkan pencarum menerusi skim pengeluaran KWSP terdahulu.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menerima kritikan selepas menyatakan hasrat mempertimbangkan pengenalan sekali lagi skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), jika gabungan itu menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, jumlah simpanan KWSP pencarum sudah susut susulan pelbagai skim pengeluaran yang diperkenalkan sejak dua tahun lepas.

Santiago mendakwa Muhyiddin calon perdana menteri yang “jahil”, sambil menambah skim pengeluaran KWSP terdahulu memaksa ramai pencarum berdepan “kemiskinan pada usia tua”.

“Mereka terpaksa bekerja tambahan tujuh tahun untuk menampung kerugian atau hidup dalam kemiskinan.

“Ditambah peningkatan kos sara hidup, bagaimana mereka hendak menampung kehidupan apabila dana persaraan sudah tiada?” soal ahli DAP itu dalam siri ciapan di Twitter.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berpendirian bahawa pengeluaran KWSP bukan suatu bentuk bantuan kerajaan kerana pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka sendiri.

Bekas Ahli Parlimen Muar itu, berkata menawarkan wang pencarum KWSP sebagai “gula-gula pilihan raya” ialah tindakan tidak bertanggungjawab dan memberi kesan negatif buat pencarum bagi tempoh panjang.

“Saya menentang keras ikrar pilihan raya seperti ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ketika melancarkan manifesto PN pada Ahad, Muhyiddin berkata, PN akan mempertimbangkan satu lagi skim pengeluaran KWSP memandangkan ramai yang memintanya.

Katanya, ia akan dilaksanakan secara bersasar dan mengambil kira sama ada pencarum mempunyai dana mencukupi bagi persaraan mereka.

Pada Ogos, Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah berkata, hampir RM145 bilion dikeluarkan pencarum dalam skim pengeluaran KWSP sebelum ini.

Tambahnya, simpanan pencarum KWSP berada pada tahap yang rendah dan “sangat membimbangkan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.