Kenaikan kos, banjir dan rasuah jadi kebimbangan utama pengundi Kedah

Kenaikan kos, banjir dan rasuah jadi kebimbangan utama pengundi Kedah

Faktor-faktor ini dijangka mempengaruhi corak pengundian pengundi di negeri itu pada PRU15.

Menurut Balakrishnan KJ Nair (kiri) dan Kumaravellu Veerappan, pelabur asing telah hilang keyakinan terhadap Malaysia.
ALOR SETAR:
Kos yang semakin meningkat, rasuah dan banjir dijangka menjadi antara isu utama yang akan mempengaruhi corak pengundian rakyat Kedah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) 19 Nov nanti.

Bagi peniaga makanan, kenaikan harga dan bekalan barangan yang terhad menyebabkan perbelanjaan operasi harian mereka meningkat.

Lim Boon Kong, 58, penjaja mi yang beroperasi di pasar pagi dan medan selera di Alor Setar berkata, sebelum wabak Covid-19 melanda, beliau hanya memerlukan RM50 sehari untuk perbelanjaan.

Bagaimanapun, perbelanjaannya kini meningkat sehingga RM80 sehari, sementara perniagaannya semakin merosot, katanya.

Lim Boon Kong.

“Saya sudah berniaga makanan selama 50 tahun, dan ini adalah kenaikan tertinggi dalam harga barangan yang pernah saya lihat,” katanya kepada FMT.

“Sangat sukar juga untuk dapatkan ayam dan telur sekarang apabila kerap berlaku kekurangan (bekalan).”

Siti Aminah Adnan, 21, yang mengusahakan sebuah restoran di bangunan yang disewa di Gurun, berkata perbelanjaan hariannya antara RM200 hingga RM300 sebelum wabak kini meningkat kepada RM400.

Beliau terpaksa menaikkan harga hidangan yang dijualnya, dan ini mencetuskan aduan daripada pelanggan. Beliau berharap parti politik yang membentuk kerajaan akan datang memberi tumpuan kepada menangani kenaikan harga.

Subramaniam Ayanar.

Pekerja kilang di Bedong, Subramaniam Ayanar, berkata, gaji bulanannya sebanyak RM1,500 tidak mencukupi untuk membeli barangan makanan asas.

“Nasib baik empat anak saya sudah bekerja. Bagaimana jika mereka masih kecil? Susu tepung sahaja kini berharga RM60 setin,” kata lelaki berusia 63 tahun itu.

Bagi penjual jagung, Izuani Romli, 33, walaupun terjejas dengan kenaikan kos, beliau lebih bimbang tentang kejadian banjir yang kerap berlaku di kampungnya, Kampung Kepala Bukit di Guar Chempedak

Kampungnya telah dilanda banjir sebanyak empat kali sejak Januari. Keretanya dan beberapa barangan rumah rosak apabila rumahnya ditenggelami air pada Jun.

“Setiap kali hujan, kami terpaksa tinggalkan rumah disebabkan banjir yang berpunca daripada sistem perparitan yang teruk,” katanya kepada FMT.

“Kami sudah banyak kali buat aduan tetapi tiada tindakan diambil. Mereka (pihak berkuasa tempatan) hanya akan periksa tapak (berkenaan) dan buat laporan.

“Kami dah penat lari. Kami hanya hanya mahu sistem perparitan yang akan mencegah banjir apabila hujan lebat.”

Rasuah jadi masalah, pelaburan terjejas

Bagi peguam Balakrishnan KJ Nair, 72, dan ahli perniagaan Kumaravellu Veerappan 77, masalah rasuah dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN) menjadi kebimbangan utama.

Mereka berkata, pelabur asing telah hilang keyakinan terhadap Malaysia dan memilih untuk memulakan perniagaan di Thailand dan Indonesia.

Balakrishnan berkata, berbilion wang pembayar cukai telah digunakan untuk membayar balik hutang 1MDB, dan skandal itu telah mencemarkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Saya pergi ke Uttar Pradesh enam tahun lepas, di mana penduduk tempatan bertanya kepada saya tentang perkara itu. Saya terkejut mereka tahu tentangnya,” katanya kepada FMT.

Beliau juga bimbang pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dibayar gaji yang lumayan, yang menurutnya, menjadi beban terhadap sumber kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.