
Zulhazmi berkata, beliau mahu membuktikan bahawa penduduk Jerai berfikiran terbuka dan menghargai nilai sesebuah parti, bukan sekadar logonya.
“Jadi tugas berat kami – bukan saya sahaja, tetapi juga tugas DAP Kedah – untuk membuktikan apa yang disebutkan oleh Phahrolrazi (Zawawi) itu salah, bahawa DAP ini Melayu tidak boleh terima dan sebagainya.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk buktikan bahawa benda itu hanya sekadar persepsinya,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara.

Phahrolrazi, bekas Ketua Amanah Kedah, membuat komen itu berikutan keputusan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon DAP untuk bertanding di kerusi Jerai.
Beliau berkata, calon Amanah sepatutnya dipilih dan menyeru ahli parti memboikot pilihan raya umum (PRU), tindakan yang mengakibatkan beliau dipecat oleh parti.
Zulhazmi yang sebelum ini bersama PAS, berkata beliau menyertai DAP kerana melihat parti itu berprinsip. Beliau meninggalkan PAS pada 2015 kerana tidak berpuas hati parti Islam itu bermesra dengan Umno.
Tanggapan bahawa DAP adalah anti-Melayu atau anti-Islam adalah tidak benar, katanya.
“Jadi bila saya masuk DAP tak kurang pun Islam saya, tak kurang pun Melayu saya.”
Bagaimanapun, sebilangan orang Melayu masih ragu-ragu terhadap PH, walaupun ini tiada kaitan dengan DAP, sebaliknya persepsi yang menyelubungi gabungan itu susulan pemerintahannya sebagai kerajaan selama 22 bulan.
Di lapangan, katanya, beliau mendapat maklum balas positif daripada orang bukan Melayu, serta ada juga tanda-tanda yang menggalakkan daripada penyokong PAS.
“Ada orang-orang PAS yang masih terbuka dengan kita (sebab) dulu dalam Pakatan Rakyat. Ada yang terbuka, cuma dari segi mengundi itu, kita tidak pasti sejauh mana mereka nak undi kita.
“Tetapi kalau kita dekati, kita jumpa, (mereka) tiada masalah, tak pernah mengelak atau halau kita,” katanya.
Malah, katanya, ada penyokong Umno memujinya kerana mengambil keputusan berani menyertai DAP dan menawarkan diri sebagai calon.
Zulhazmi berkata, beliau berhasrat membantu Jerai merealisasikan potensinya sebagai hab pertanian dan pelancongan.
Parlimen Jerai akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Zulhazmi dan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Gerakan Tanah Air (GTA).