Selama jadi daerah penuh jika BN menang, ikrar Saarani

Selama jadi daerah penuh jika BN menang, ikrar Saarani

Menteri Besar Perak itu berkata ia bagi memastikan agenda pembangunan di daerah kecil itu terus rancak.

Saarani Mohamad berkata BN juga berhasrat meneruskan cadangan pembinaan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Larut yang telah tertangguh.
LARUT:
Daerah Selama akan diangkat sebagai daerah penuh sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat sekali lagi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU15, kata Saarani Mohamad.

Menteri Besar Perak itu berkata ia bagi memastikan agenda pembangunan di daerah kecil itu terus rancak sekiranya menjadi daerah penuh, iaitu daerah ke-13 selepas Muallim dan Bagan Datuk.

“Kita ada 12 daerah sekarang ini dan kita cuba sedaya upaya, kalau nasib kita baik diberi peluang menjadi kerajaan antara perkara itu akan kita cuba balik supaya daerah Selama ini jadi daerah besar, dan daerah penuh.

“Bila daerah penuh baru kita dapat pegawai daerah, jurutera, dan banyak lagi perjawatan awam diwujudkan… daerah ini akan terus membangun,” katanya selepas melawat pusat daerah mengundi (PDM) di Selama.

Daerah Muallim dan Bagan Datuk diwartakan sebagai daerah penuh ke-11 dan ke-12 Perak pada 2015 dan 2016 ketika pentadbiran Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar.

Selama berada di dalam daerah Larut Matang Selama dan pusat pentadbiran daerah ini terletak di bandar Taiping, yang juga bandar terawal di Malaysia.

Larut berada di tengah dan selatan Perak, Matang di barat sementara Selama di utara dengan keluasan 151,104.03ha.

Hamzah Zainudin adalah Ahli Parlimen Larut bagi tiga penggal sejak 2008 di bawah tiket BN, kemudian berhijrah ke Bersatu pada 2019. Hamzah berdepan empat penjuru di Larut dengan pencabar terdekatnya calon muda daripada Barisan Nasional (BN), Shafiq Fhadly Mahmud.

Saarani yang juga calon DUN Kota Tampan berkata pentadbiran BN akan memastikan cadangan pembinaan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Larut yang telah tertangguh, diteruskan.

“Ada beberapa pembangunan yang tertangguh sejak berzaman iaitu cadangan pembinaan sebuah institut pengajian tinggi, kolej kemahiran Mara, tapaknya telah pun ada tetapi pembangunannya bertangguh-tangguh.

“Jadi kerana ini kita dah maklumkan kepada calon kita jika dipilih sebagai Ahli Parlimen, antara perkara pertama yang dia kena usahakan sehingga berjaya, untuk membawa kembali projek itu ke sini kerana peruntukan itu telah pun ada, tanah telah pun ada,” katanya.

Dengan kehadiran IPT di kawasan berkenaan, katanya, ia akan merancakkan lagi ekonomi penduduk tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kita nak apa yang ada di Taiping akan ada juga di Larut kerana selama ini orang di sini kalau nak membeli-belah kena pergi ke Taiping, jadi kenapa tidak Taiping tu dah besar dan kita kembangkan pula daerah ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.