
Calon Barisan Nasional bagi Parlimen Sembrong itu berkata, rakyat yang akan menentukan pemenang PRU15 pada 19 Nov ini.
“Ramalan-ramalan Rafizi ini, saya nak ingatkan kadang-kadang bila menjadi, dia ambil kredit, (namun apabila) ramalan yang dia buat tak menjadi, orang lupa.
“(Sebelum ini, Presiden PKR) Anwar Ibrahim kata PH mampu menang 100 kerusi, kemudian Rafizi kata boleh menang 80 kerusi. Dia dan Anwar pun tidak nampak ada persefahaman,” katanya selepas berkempen dengan calon BN Parlimen Pagoh, Razali Ibrahim di Grisek di sini.
Semalam, Rafizi mendakwa PH yakin mampu menyapu bersih 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, selain memenangi 19 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor dan 13 hingga 15 kerusi di Johor.
Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan PH bakal melakukan kejutan besar di Negeri Sembilan dan bacaan itu diperoleh berdasarkan kajian Invoke Malaysia, dengan mengambil kira situasi semasa.
Ditanya sama ada Ismail Sabri Yaakob masih lagi calon perdana menteri BN, Hishammuddin menegaskan perkara itu sudah ditentukan parti.
“Bukan saya tentukan, dari dulu lagi parti sudah buat pendirian.
“Sekiranya ada apa-apa perubahan, tak sampai kepada saya lagi. Yang penting, nak jadi perdana menteri, kita kena menangkan parti kita dulu.”