Kes baharu Covid-19 naik 57% kepada lebih 26,600 minggu lalu

Kes baharu Covid-19 naik 57% kepada lebih 26,600 minggu lalu

Bilangan kemasukan ke hospital turut meningkat sebanyak 26.1% bagi setiap populasi 100,000 berbanding minggu sebelumnya.

Sebanyak 4,923,538 kes Covid-19 direkodkan dalam negara sejak Januari 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat minggu lalu sebanyak 57.3% kepada 26,616 daripada 16,917 yang direkodkan minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan kemaskini terbaru untuk minggu berakhir 5 Nov, Hisham berkata ia turut menunjukkan peningkatan jumlah kemasukan ke hospital dan pusat kuarantin.

Bilangan kemasukan ke hospital meningkat sebanyak 26.1% bagi setiap populasi 100,000 berbanding minggu sebelumnya.

Penggunaan katil untuk kes tidak kritikal meningkat sebanyak 8%, manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 4%.

Kemasukan bagi pesakit Kategori 3, 4 dan 5 ke hospital kerajaan juga meningkat sebanyak 37.4%.

Hisham berkata ketika ini terdapat 33,449 kes aktif.

“Kes pulih meningkat 53.5% daripada 13,495 kepada 20,718.

“Jumlah kematian meningkat 45% dari 20 kes kepada 29, menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 36,493 kes,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, 4,923,538 kes Covid-19 direkodkan dalam negara sejak Januari 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.