Jho Low arah pegawai bank rahsiakan surat Putera Saud, mahkamah diberitahu

Jho Low arah pegawai bank rahsiakan surat Putera Saud, mahkamah diberitahu

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu berkata, Jho Low mengarahkan bank hanya menunjukkan surat itu kepada bekas gabenor Bank Negara dan memastikan kandungannya tidak didedahkan.

Najib Razak berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai bank memberitahu perbicaraan 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi bahawa ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan bank memastikan kandungan empat surat yang didakwa dikeluarkan “Putera Saud Abdulaziz Al-Saud” dirahsiakan.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu berkata, Low menghantar mesej BlackBerry (BBM) kepadanya pada 23 Jun 2014 mengarahkan bank hanya menunjukkan surat itu kepada bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan memastikan kandungannya tidak didedahkan.

Dalam surat itu yang ditujukan kepada Najib antara 2011 dan 2014, “Putera Saud” didakwa berkata, beliau mahu memberi dana kepada bekas perdana menteri itu untuk mempromosikan Islam.

“(Low) berkata ia untuk (bekas pengarah urusan AmBank, Cheah Tek Kuang) tunjukkan kepada gabenor (Zeti) dan kemudian mengambilnya kembali.

“Jho juga berkata, jangan beri salinan kepada Zeti, tetapi boleh merujuk kepada (Najib) jika perlu,” kata Yu.

Sebelum ini, Cheah dalam keterangannya berkata, beliau melihat salah satu daripada empat surat itu pada 2011 dan menyerahkan satu salinan kepada pejabat Zeti.

Yu turut memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau memaklumkan Low menerusi mesej BBM bahawa akaun Najib terlebih keluar.

“Saya beritahu Jho bahawa cek akan tendang, jika tiada dana baharu (dimasukkan ke dalam akaun).

“Ini akaun perdana menteri. Kami akan kejar (untuk dapatkan dana) bagi memastikan cek tidak ditendang,” katanya.

Yu berkata, pembantu Low, Kee Kok Thiam memasukkan wang tunai ke dalam akaun Najib pada 2014 untuk menambah dana.

Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram kemudian menyoal Yu sama ada beliau tahu jumlah yang didepositkan Kee.

Yu berkata, ia mencecah “ratusan ribu”.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.