Guan Eng punca projek perluas lapangan terbang ditunda, kata Wee

Guan Eng punca projek perluas lapangan terbang ditunda, kata Wee

Presiden MCA berkata, Lim Guan Eng ketika menjadi menteri kewangan enggan menggunakan peruntukan kerajaan bagi membesarkan lapangan terbang itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mempunyai kapasiti 6.5 juta penumpang setahun, tetapi rancangan membesarkan lapangan terbang itu ditunda. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kelewatan dalam projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berpunca daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu menukar kaedah pembiayaan projek terbabit, kata Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Wee yang juga bekas menteri pengangkutan berkata, dana untuk projek itu sudah diperuntukkan dalam Bajet 2018, tetapi peruntukan itu tidak digunakan kerajaan PH yang berkuasa selepas pilihan raya umum pada Mei 2018.

Ketika Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan, katanya, beliau memutuskan untuk mencari rakan kongsi swasta bagi memperluaskan LTAPP menerusi inisiatif pembiayaan swasta, bukannya menggunakan peruntukan disediakan.

“Kita mempunyai dana untuk projek pembesaran, tetapi beliau (Lim) tidak mahu gunakannya. Ketika beliau menjadi menteri kewangan, beliau ada idea lain untuk projek itu,” kata Wee selepas berkempen dengan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung.

Wee menjawab gesaan Naib Pengerusi DAP negeri, Zairil Khir Johari supaya pengundi tidak memilih BN atau Perikatan Nasional kerana mendakwa projek infrastruktur penting seperti pembesaran lapangan terbang mungkin dibatalkan.

Kata Wee, ketika beliau menjadi menteri pengangkutan pada Mac 2020, semasa kemuncak pandemik Covid-19, semua lapangan terbang terjejas akibat perintah berkurung yang menyebabkan pendapatan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merosot.

Wee Ka Siong bersama calon BN bagi kerusi Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung.

Bagaimanapun, tiada seorang pun pekerja lapangan terbang diberhentikan dalam tempoh itu. Ketika prospek suram untuk penerbangan awam, katanya, MAHB tidak mampu melaksanakan projek besar.

Menurutnya, apabila kerajaan Ismail Sabri Yaakob bersedia meneruskan projek itu, tetapi kerja tergendala akibat beberapa isu tanah, seperti penempatan semula sebuah sekolah Cina yang belum diselesaikan kerajaan negeri.

“Apabila mereka selesaikan semua itu, kita akan beri keutamaan kepada Pulau Pinang. Bukan kita yang batalkan projek.

“Sebenarnya, ketika PH memerintah, projek kereta api laju (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dibatalkan. Akhirnya, kita terpaksa membayar pampasan yang tinggi kerana membatalkan projek ini.”

Katanya, beliau juga sedia berdebat dengan Lim berhubung isu lapangan terbang itu, sekiranya beliau mahu berbuat demikian. FMT cuba menghubungi Lim untuk komen.

LTAPP mempunyai kapasiti 6.5 juta penumpang setahun dan diberi kelulusan oleh kerajaan PH untuk menggandakan kapasitinya. Bagaimanapun, kerajaan Ismail memutuskan tidak membina atau membesarkan mana-mana lapangan terbang hingga 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.