
Dalam video di laman Facebook miliknya, Razman yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol, turut mendakwa Anwar mahu menghalalkan perkahwinan sejenis, sekiranya PH membentuk kerajaan selepas pengundian, 19 Nov.
Sambil menggambarkan ucapan Razman itu dalam program di pasar malam Tebuk Pancur, semalam, merupakan “fitnah”, Asmuni meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis menyiasat serta meneliti ucapannya yang mencemar perjalanan pilihan raya umum.
“Sewajarnya kempen berbaur fitnah ini dihentikan dan agama Islam cukup melarang umatnya membuat fitnah kerana kesan kepada masyarakat cukup besar dan tindakan ini amat dikesali sama sekali.
“Sepatutnya, beliau fokus mengenai isu rakyat seperti ekonomi, harga barang, kemiskinan dan sebagainya dalam kempen beliau terhadap pengundi dan bukannya fitnah dan adu domba,” kata Asmuni.
Razman juga menuduh DAP mempunyai “agenda komunis” dan mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) berpakat selepas PRU15.
Katanya, pakatan itu akan menyaksikan pimpinan BN yang berdepan tuduhan jenayah akan digugurkan kes mereka.