Standard integriti BN, PH lebih rendah, kata Muhyiddin

Standard integriti BN, PH lebih rendah, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata, piawaian berbeza ialah punca sesetengah pemimpin pakatan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya walaupun berdepan tuduhan rasuah.

Muhyiddin Yassin yakin pengundi tahu menilai siapa lebih komited dalam memastikan negara bebas rasuah dan ‘kleptokrat’.
SHAH ALAM:
Penanda aras yang ditetapkan Perikatan Nasional dalam soal integriti lebih tinggi berbanding pesaingnya, kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mungkin mempunyai standard lebih rendah.

“Ini sebabnya mereka yang menghadapi tuduhan rasuah boleh bertanding dalam pilihan raya umum,” katanya yang dilihat merujuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menghadapi tuduhan jenayah.

“Tetapi tak mengapa, itu masalah mereka, bukan kita,” katanya ketika membentangkan manifesto PN.

Presiden Bersatu itu yakin pengundi tahu menilai siapa lebih komited dalam memastikan negara bebas rasuah dan “kleptokrat”, istilah yang digunakan PN dan PH terhadap pemimpin Umno seperti Najib Razak.

Muhyiddin berkata, PN mengambil serius mengenai integriti kerana calon gabungan itu bukan saja menandatangani ikrar anti-rasuah, tetapi turut menjalani semakan menyeluruh.

Katanya, gabungan itu akan melarang mana-mana calon berpotensi yang memiliki rekod jenayah, sedang disiasat agensi anti-rasuah atau menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah daripada bertanding.

Beliau berkata, kerajaan PN akan meneruskan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional, inisiatif lima tahun yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 sebagai dasar komprehensif untuk membasmi rasuah.

“Kami juga akan menubuhkan mahkamah anti-rasuah dan meminda undang-undang berhubung pembiayaan politik untuk mengekang ancaman itu.”

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut serta menerima RM3.3 juta rasuah.

Zahid pula berdepan 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.