Maszlee yakin jumlah keluar mengundi lebih tinggi di Johor

Maszlee yakin jumlah keluar mengundi lebih tinggi di Johor

Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata faktor itu didorong kurangnya larangan bergerak selain kemahuan rakyat yang mahu melihat perubahan dalam kerajaan.

Maszlee Malik berdepan saingan empat penjuru di Simpang Renggam dalam usaha mempertahankan kawasan itu.
SIMPANG RENGGAM:
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, menjangkakan jumlah keluar mengundi lebih tinggi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), berbanding pilihan raya negeri (PRN), pada Mac.

Katanya, peningkatan itu didorong pertambahan jumlah pengundi baharu selain tiada larangan bergerak untuk mereka keluar memilih.

Maszlee berkata, adalah tidak adil untuk menggunapakai jumlah keluar mengundi pada PRN Johor bagi mengukur kehadiran pengundi, pada 19 Nov.

Jumlah keluar mengundi ketika PRN pada Mac adalah 55%. Menteri Besar Johor ketika itu, Hasni Mohammad, dilaporkan berkata, kebimbangan terhadap Covid-19 mungkin menyebabkan pengundi enggan keluar memilih.

Bagaimanapun, Maszlee meramal jumlah keluar mengundi kali ini lebih tinggi memandangkan Malaysia sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik Covid-19, termasuk pembukaan semula sempadan.

“Saya juga merasakan rakyat mahukan kepada perubahan dalam kerajaan. Jadi, jumlah keluar mengundi pastinya lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

Pada PRN Johor, Maszlee bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, namun tumpas kepada calon Barisan Nasional (BN), Abdul Mutalip Abd Rahim.

Pada PRU15, beliau cuba mempertahankan Parlimen Simpang Renggam, melawan Hasni (BN), Fazrul Kamat (Perikatan Nasional) dan Kamal Kusmin (Pejuang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.