Kerusi kosong tak bermakna kami kurang sokongan, kata Dr M

Kerusi kosong tak bermakna kami kurang sokongan, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak bimbang dengan jumlah kehadiran rendah pada pelancaran Pejuang Sabah kerana ramai yang sibuk berkempen.

Pelancaran Pejuang Sabah pada 4 petang tadi dihadiri kurang 200 orang, walaupun banyak kerusi disediakan.
KOTA KINABALU:
Walaupun tidak ramai menghadiri pelancaran Pejuang Sabah di sini, tetapi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yakin parti itu mampu memenangi hati rakyat Sabah pada pilihan raya umum ke-15.

“Ia tidak mencerminkan sokongan sebenar untuk parti di sini. Ramai yang sibuk berkempen. Saya tidak bimbang,” katanya.

Kurang 200 orang menghadiri pelancaran Pejuang Sabah pada 4 petang tadi, walaupun banyak kerusi disediakan.

Pengerusi penganjur, Nicholas Sylvester Muhammad mendakwa kebanyakan ahli kumpulan itu sibuk berkempen, oleh itu mereka tidak menghadiri majlis hari ini.

Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Mahathir meletakkan 116 calon bertanding kerusi Parlimen di seluruh negara, termasuk 14 kerusi di Sabah.

GTA akan bertanding atas tiket Pejuang kerana gabungan itu belum berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Ketibaan Mahathir disambut oleh Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Hajiji Noor di lapangan terbang.

Kedua-duanya kemudian mengadakan perbincangan secara tertutup, tetapi Mahathir berkata, topik itu tiada kaitan politik.

“Kami berbincang khasnya mengenai pembangunan di Sabah. Kami tidak bercakap mengenai politik. Tetapi, kita akan lihat selepas pilihan raya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.