Festival Gendang tonjol warisan Sarawak, kata Nancy

Festival Gendang tonjol warisan Sarawak, kata Nancy

Menteri pelancongan, seni dan budaya berkata penganjuran festival itu turut menyaksikan peningkatan pulangan pelaburan sejak kali pertama diadakan pada 2014 hingga 2019.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata gendang Melayu adalah warisan bagi komuniti Sarawak, tetapi minat terhadap seni itu merentasi pelbagai etnik.
PETALING JAYA:
Festival Gendang Sarawak yang diadakan setiap tahun menjadi landasan penting bagi membantu menyerlahkan seni dan budaya Sarawak, kata Nancy Shukri.

Menteri pelancongan, seni dan budaya berkata, seni gendang Melayu merupakan warisan bagi masyarakat Sarawak, tetapi minat terhadap alat muzik tradisional itu merentasi pelbagai etnik.

Festival itu, yang berakhir hari ini, membantu menonjolkan serta menarik minat lebih meluas terhadap seni bermain gendang, sama ada dalam kalangan rakyat tempatan atau luar negara, katanya.

“Sebagai program pelancongan budaya, Pesta Gendang Sarawak amat penting kepada masyarakat setempat dalam konteks perpaduan, menggalakkan pembangunan budaya, dan memartabatkan industri pelancongan.

“Festival ini menyaksikan pulangan pelaburan (ROI) yang semakin meningkat, sejak kali pertama diadakan pada 2014 hingga 2019. Ia berjaya menjana RM360,000 hasil jualan kraftangan serta lawatan balas peminat seni dan budaya.

“Sejak pertama kali diadakan, kira-kira 135,389 pelancong domestik telah menghadiri festival ini, serta 11,637 pengunjung antarabangsa,” katanya semasa melancarkan festival yang diadakan di Kuching.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri tiba di Festival Gendang Sarawak di Kuching.

Sebagai sebuah negeri yang terdiri daripada pelbagai etnik, Nancy berkata Sarawak mempunyai kepelbagaian seni dan budaya yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Katanya, program seperti Festival Gendang Sarawak membantu menyelami masyarakat tempatan dan asing dalam budaya unik negeri Borneo, sambil mencetuskan kecintaan terhadap seni tradisional dalam kalangan belia.

“Saya berharap agar lebih banyak program dan aktiviti seperti ini dapat diadakan dengan kerjasama dan penglibatan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Ini juga secara tidak langsung meningkatkan hubungan antara jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.