Calon BN akui Syed Saddiq popular di Muar

Calon BN akui Syed Saddiq popular di Muar

Mohd Helmy Abd Latif berkata namun akan berlaku angin perubahan di Parlimen Muar seperti berlaku pada pilihan raya negeri Johor, Mac lalu.

Bekas penyandang Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, diakui popular di kawasan itu, kata calon Barisan Nasional (BN) Mohd Helmy Abd Latif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Muar, Mohd Helmy Abd Latif, mengakui calon Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman, popular di kawasan itu.

Bagaimanapun, ketua Pemuda Umno Muar itu berkata, beliau tidak gentar bersaing dengan bekas penyandang kawasan Parlimen berkenaan yang menang dengan majoriti 6,953 undi, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Helmy yakin angin perubahan yang berlaku ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor, pada Mac, masih berterusan kerana BN dapat membentuk kerajaan stabil dan makmur.

“Saya akui setiap calon ada kekuatan, kelebihan dan keterampilan masing-masing. Saya tidak menafikan penyandang adalah seorang yang popular tetapi pilihan akhirnya di tangan pengundi dan mereka lebih bijak untuk menilai.

“Dari segi pertembungan, ini adalah pertembungan terbuka dan saya yakin saya mampu meyakinkan orang Muar bahawa orang Muar sahaja yang faham orang Muar itu sendiri,” lapor Harian Metro.

Helmy berkata, sejak memulakan kempen sejurus proses penamaan calon, kebanyakan pengundi ditemuinya menyuarakan harapan menginginkan orang tempatan menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya yakin kerana saya berasal dari Muar, dilahirkan di Muar, bersekolah di Muar dan dibesarkan di Muar. Saya berharap pencalonan saya dapat diterima penduduk Muar,” katanya.

Beliau berkata, selain mendekati pengundi, usahanya juga ditumpukan menawan hati golongan muda bagi meraih sokongan mereka susulan pelaksanaan Undi18.

“Media sosial memainkan peranan penting di waktu ini, saya melihat trend ini untuk mereka yang berusia 50 tahun ke bawah, hanya mendapat maklumat melalui media sosial. Jadi itu akan kita memperkasakan supaya maklumat sampai kepada pengundi.

“Mungkin kalau saya pergi ke mana-mana, tak semua pengundi boleh saya jumpa tetapi melalui media sosial, mereka lebih dekat untuk mengetahui mengenai saya,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen Muar, Helmy berdepan saingan tiga penjuru membabitkan Syed Saddiq yang mewakili Muda dan Abdullah Husin daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU14, Syed Saddiq yang bertanding menggunakan logo PKR merampas kerusi Parlimen Muar selepas menewaskan penyandangnya daripada BN, Razali Ibrahim dan calon PAS, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.