
Terdahulu, satu video tular membabitkan kekecohan akibat Umno Bahagian Gerik membantah pencalonan Asyraf yang diumumkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pada 1 Nov lalu.
Ketua Wanita Umno Bahagian Gerik, Salbiah Mohamed berkata, ketaatan kepada keputusan dibuat pucuk pimpinan lebih utama, sungguhpun ketetapan menolak calon luar dipersetujui melalui mesyuarat perwakilan secara dasarnya.
“Pendirian (asal) kita ialah mencadangkan anak tempatan dan tiada calon luar, tetapi prinsip wala’ kepada kepimpinan parti ini (BN) membuatkan Umno Gerik sentiasa menjunjung (keputusan) itu (pencalonan Asyraf).
“Jadi, katakan kalau ada isu, itu sekadar kita menyatakan pendirian asal,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Salbiah berkata, isu itu dianggap selesai apabila jentera dan akar umbi bahagian akur dengan keputusan pucuk pimpinan.
“Pendirian satu isu dan menerima keputusan pucuk pimpinan sesuatu yang lain. Jadi, rasanya tidak salah kita nyatakan pendirian akar umbi.
“Namun, apabila pucuk pimpinan sudah buat keputusan, saya kira semua boleh tengok hari ini jentera kita semuanya hadir memberikan sokongan.”
Katanya, lebih penting sekarang adalah fokus untuk memenangkan BN di Gerik.