
Sambil mengakui merupakan calon ‘underdog’, beliau bagaimanapun yakin dengan peluangnya di kawasan berkenaan berdepan bekas perdana menteri yang juga penyandang kerusi Parlimen itu.
“Soalan tentang dulu saya kalah di Muar pun bagus juga. Waktu itu siapa jangka sangat kan.
“Dekat sini (Pagoh) pun boleh. Dalam pilihan raya tidak ada orang boleh beritahu pada hari pencalonan siapa boleh menang. Perasaan pasukan yang bertanding pun semua nak menang,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon kerusi Parlimen Pagoh.
Dalam pada itu, Razali berkata peluang BN di Pagoh sentiasa ada.
Beliau berkata, ini kerana ada pengundi yang memilih parti dan melihat calon yang mempunyai kelebihan menubuhkan kerajaan.
“Saya boleh bercakap bagi pihak kita di Johor. Sekurangnya kerajaan Johor merupakan kerajaan yang stabil di bawah kepimpinan BN. Akan ada pengundi yang akan percaya penyelarasan Johor dan pusat di bawah kerajaan mustahak. Ini kita akan sampaikan,” katanya.
Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin selama enam penggal akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, pada PRU15.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dicabar Razali dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Pada PRU14, Muhyiddin menang di Parlimen Pagoh dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN Ismail Mohamed.
Manakala Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13, namun tewas pada PRU14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ketika itu bertanding atas tiket PKR, dengan majoriti 6,953 undi.