KJ sedia hadapi ‘pertarungan paling sukar’ dalam karier politik

KJ sedia hadapi ‘pertarungan paling sukar’ dalam karier politik

Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh itu berkata, satu undi baginya bersamaan satu undi untuk calon perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

SUNGAI BULOH:
Calon BN Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah bersedia untuk menghadapi “pertarungan paling sukar” dalam karier politiknya apabila berdepan pertembungan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh.

“Ini akan jadi pertarungan yang sangat sukar untuk saya. tetapi saya terima cabaran itu,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu kepada pemberita selepas penamaan calon ditutup.

“Satu undi untuk saya adalah satu undi untuk calon perdana menteri kita, Ismail Sabri Yaakob.”

Apabila ditanya sama ada pencalonannya di Sungai Buloh diatur untuk menamatkan karier politiknya, Khairy berkata: “Saya belum sedia untuk berhenti.”

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dilapor menafikan dakwaan bahawa Khairy diletakkan di Sungai Buloh sebagai percubaan untuk menamatkan karier politik bekas menteri kesihatan itu.

Menurut Utusan Malaysia, Mohamad berkata, parti itu menganggap Sungai Buloh sebagai kerusi “selamat”, memandangkan 70% daripada pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menamakan Khairy sebagai salah seorang daripada tujuh calon bagi kerusi Sungai Buloh.

Calon-calon lain terdiri daripada R Ramanan (PH), Akmal Yusoff (GTA), Razali Mat Hamin (PN), Jufriz Faizal (Parti Rakyat Malaysia), serta calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Norhaslinda Basri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.