
“Pengundi akan bangkitkan persoalan, tetapi tugas kami memberikan penjelasan kepada mereka,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
“Ini kerana ia berkenaan memilih antara Barisan Nasional (BN) dan Ahmad Zahid Hamidi menjadi perdana menteri atau menyokong gabungan reformis progresif berbilang kaum (Pakatan Harapan),” katanya.
Lim akan bertanding di kerusi Tanjung Piai, manakala Syed Saddiq kembali bertanding mempertahankan Muar.
Lim berkata, calon Muda bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada pengundi berhubung kes Syed Saddiq.
“Ketika ini, Syed Saddiq sedang dibicarakan, jadi ia tidak bermakna beliau bersalah atau disabitkan bersalah,” katanya.
“Akan tiba masanya bagi beliau untuk membela dirinya di mahkamah. Jika terbukti bersalah, beliau perlu secara serius mempertimbangkan langkah seterusnya.”
Lim mendakwa, terdapat keterangan bahawa Syed Saddiq menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik disebabkan keengganannya menyokong perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Pada 28 Okt, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq perlu membela diri terhadap dakwaan subahat pecah amanah jenayah membabitkan RM1 juta, salah guna wang RM120,000, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi RM50,000 setiap satu.
Pertuduhan dikenakan berkaitan dana milik Pemuda Bersatu ketika beliau menjadi ketuanya.
Lim berkata: “Kami perlu menjelaskan kepada pengundi bahawa itu pilihannya sendiri dan kami tidak akan berkompromi berhubung integriti, namun biarlah mahkamah membuat keputusan.”