
Beliau berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook meletakkan sembilan orang calon Melayu bagi kerusi Parlimen adalah yang pertama bagi parti itu.
“Ini tidak pernah dibuat sebelum ini. Sebelum ini, hanya Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (dicalonkan). Sekarang, ada sembilan calon dan itu hanya untuk Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT.
Tengku Zulpri memenangi kerusi Parlimen Raub pada PRU 2018. Beliau akan bertanding di Lipis pada PRU kali ini.
Selain Young Syefura dan Tengku Zulpri, calon Melayu lain termasuk Zulhazmi Shariff (Jerai), Sheikh Umar Bagharib Ali (Ayer Hitam), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Ahmad Tarmizi Mohd Jam (Gerik), Shazwan Zainal (Pontian), Fatin Zulaikha (Mersing) dan Syahredzan Johan (Bangi).
“Saya yakin kita akan letak lebih ramai calon Melayu pada masa akan datang, dan ini akan ubah persepsi orang ramai terhadap DAP sebagai parti berasaskan Cina,” katanya.
Young Syefura, atau lebih dikenali sebagai Rara, menegaskan bahawa Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP juga kini lebih majmuk dengan ahli Melayu dalam barisannya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa DAP menamakannya sebagai calon Bentong kerana ia adalah “kerusi Melayu”.
Orang Melayu membentuk 50.6% daripada populasi, diikuti oleh Cina 38.9%, India 9.5% dan lain-lain 1.8%.
“Apa sahaja yang DAP buat, akan ada kritikan, jadi kami hanya mampu lakukan yang terbaik dan buktikan diri kami,” katanya.
Beliau berkata, jika beliau ditempatkan di Bukit Bendera, kubu kuat DAP Pulau Pinang, pengkritik akan mendakwa ia “kerusi mudah”.
Young Syefura berkata, DAP sedang meluaskan jangkauannya melangkaui pengundi bandar dengan meletakkan calon Melayu di Bentong, memetik kehadiran ramai peneroka Felda dan penduduk kampung Melayu konservatif di sana.
“Sudah tiba masanya untuk menghapuskan persepsi negatif yang ditanam Umno (dalam fikiran masyarakat Melayu) selama beberapa dekad dan membuktikan bahawa kami juga boleh membantu pengundi luar bandar,” katanya.